Bila menang baru ada wang lebih

Bila menang baru ada wang lebih

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Di arena, dia kelihatan gagah. Langkahnya mantap, tubuhnya tegap dan sorak penonton sering memecah keheningan setiap kali namanya diumumkan.

Tetapi di luar arena, kisahnya jauh berbeza apabila penuh resah, hutang dan pengorbanan yang tidak pernah diceritakan.

Wartawan Harian Metro berkesempatan menemubual seorang atlet negara yang hanya mahu dikenali sebagai Farhan dan dia mengaku hidup dengan elaun kecil tidak menentu.

Katanya, pendapatannya bergantung kepada kejohanan apabila meraih kejayaan gemilang lantas akan mendapat sedikit wang saku tambahan.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata, keadaan bertambah parah apabila tiada sumber kewangan hingga memaksanya meminjam bukan untuk kemewahan namun untuk makan, kos pengangkutan dan bayaran bil tertunggak.

“Kadang-kadang saya buat kira-kira dalam kepala…kalau bayar hutang bulan ni, duit makan cukup ke? Kalau beli barang keperluan, macam mana nak isi minyak? Semua benda kena fikir,” katanya.

Dia mengaku pernah terpaksa meminjam daripada lima orang berbeza dalam satu bulan, semata-mata untuk menampung kos persediaan ke kejohanan.

Hutang yang bertindih membuatkan tidurnya tidak lena, namun dia tiada pilihan. Bagi Farhan, tekanan mental lebih berat daripada tekanan fizikal sehingga terpaksa kelihatan kuat di hadapan jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong, walaupun hatinya dihimpit kegusaran hari esok.

“Kalau kalah di gelanggang, saya masih boleh cuba lagi. Tapi kalau kalah dengan masalah kewangan, mungkin itu tamatnya karier saya,” katanya.

Ada masanya dia mempertimbangkan untuk berhenti dan mencari kerja tetap. Namun setiap kali memandang medal yang tergantung di dinding rumah, semangatnya kembali menyala.

“Saya sudah berkorban banyak… takkan nak berhenti sekarang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top