redzuan.muharam@hmetro.com.my
Jeli: “Kadang-kadang anak tanya bila papa nak berjalan balik kerana dia tengok bapa kawannya tak macam saya.
“Setiap kali ditanya, saya jadi sebak sampai mati akal nak jawab dan hanya dapat beritahunya yang saya sakit kerana dia pun masih kecil,” kata Muhamad Rasul Shah Mohd Nasfu.
Muhamad Rasul Shah, 23, dilahirkan normal namun kemalangan lima tahun lalu pada pagi Aidiladha menyebabkannya hilang keupayaan berjalan akibat kecederaan tulang belakang atau ‘spinal cord injury’ (SCI)).
Kesannya, Muhamad Rasul Shah dirawat di hospital lebih sebulan dan koma sepanjang tempoh itu.
“Sedar daripada koma, saya dapati tangan diikat kerana risau saya cabut wayar dan kaki pula tak boleh gerak.
“Mulanya tak tahu lagi yang saya lumpuh dan seminggu kemudian iaitu selepas pembedahan tulang belakang, barulah diberitahu mengenainya.
“Waktu itu memang sedih dan tak ada semangat kerana susah sangat nak terima hakikat pergerakan sudah terbatas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, dia kini bergerak dengan bantuan kerusi roda dan ada juga berikhtiar dengan kaedah rawatan tradisional sebagai alternatif kerana doktor mengatakan peluangnya berjalan semula hanya dua peratus.
Muhamad Rasul Shah berkata, dia juga masih menjalani rawatan fisioterapi di hospital dua kali sebulan.
“Ikutkan, berat nak teruskan (rawatan) tapi isteri (Rosnita Haris, 24) yang selalu bagi semangat kerana emak dan ayah saya pun sudah tiada.
“Tanpa isteri, tak mungkin saya jadi sekuat sekarang… sekarang pun boleh mandi dan ke tandas sendiri cuma cabarannya bila tak boleh berdikari sepenuhnya kerana banyak lagi tak dapat dilakukan sendiri.
“Kiranya, saya masih perlu minta bantuan isteri dan itu titik terendah yang pernah membuatkan saya patah semangat,” katanya yang pernah mencari rezeki sebagai peniaga pakaian ketika sihat.
Berhubung perkongsian di TikTok, Muhamad Rasul Shah berkata, dia sekadar mahu berkongsi kehidupannya sebagai pesakit SCI dan menunjukkan dirinya tetap kuat serta bersemangat walaupun diuji dengan penyakit.
“Pada masa sama, saya harapkan doa juga daripada mereka yang menonton video saya.
“Alhamdulillah, setakat ini semua komen positif, ramai beri kata semangat malah ada yang hantar kiriman mesej untuk tanya keadaan termasuk dalam kalangan pesakit.
“Bila baca komen dan mesej itu, saya pun jadi bersemangat. Walaupun tak dapat sembuh macam dulu, cukup jika boleh berdikari kerana nak kurangkan beban orang lain terutama isteri,” katanya yang berdoa dan berharap diberi kesihatan baik supaya dapat membesarkan anaknya, Raiz Raikal, 5.
© New Straits Times Press (M) Bhd




