Bilik darjah tambahan baharu di SK Cyberjaya beri keselesaan

Bilik darjah tambahan baharu di SK Cyberjaya beri keselesaan

essabuyamin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengadakan tinjauan bagi melihat pengoperasian sesi persekolahan baharu dan kemudahan 12 bilik darjah tambahan menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, projek pemasangan bilik darjah tambahan menggunakan kaedah IBS termasuk kerja ubah suai berkaitan pendawaian elektrik, perabot, peralatan dan tandas bernilai RM2 juta itu diserahkan kepada sekolah itu pada September lalu.

“Kemudahan bilik darjah tambahan baharu itu sudah beroperasi sepenuhnya dan memberi manfaat kepada lebih 400 orang murid.

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, sekolah baharu iaitu SK Cyberjaya 2 yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebanyak RM69 juta diperuntukkan untuk pembinaan 301 bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS di 95 sekolah seluruh Selangor.

“Kerajaan komited meningkatkan akses pendidikan dan menangani isu sekolah padat.

“Ia dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 44 sekolah baharu di seluruh negara pada tahun ini dan 26 lagi pada 2024,” katanya.

Katanya, pembinaan bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS adalah penyelesaian jangka pendek dan efektif bagi menangani isu sekolah padat.

“Ia dapat memberi keselesaan kepada guru dan murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Sebelum ini, ibu bapa murid sekolah berkenaan mendesak kerajaan agar menyelesaikan isu kepadatan di SK Cyberjaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top