razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia (BIGBEN) di Ibu Pejabat JKR diaktifkan ke Tahap 3 dengan operasi secara 24 jam.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan itu dikeluarkan susulan situasi banjir yang semakin membimbangkan, khususnya di Pantai Timur.
“Pengoperasian BIGBEN ini bertujuan untuk menyelaras semua data kerosakan infrastruktur di seluruh negara, memantau situasi di lapangan secara masa nyata, menyelaras pergerakan pasukan teknikal JKR di negeri-negeri terlibat, serta berfungsi sebagai pusat rujukan utama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi berkaitan lain.
“Semua JKR negeri turut diarahkan untuk mengaktifkan bilik gerakan masing-masing dan membuat laporan kepada BIGBEN di peringkat Ibu Pejabat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut merakamkan rasa simpati dan keprihatinan kepada semua mangsa, keluarga mereka serta rakyat yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat sejak kebelakangan ini.
“Fenomena ini berlaku susulan Monsun Timur Laut yang melanda negara ketika ini, dan ia merupakan cabaran tahunan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat dan kerajaan akibat perubahan cuaca.
“Berdasarkan laporan daripada pihak berkuasa, sehingga 3.30 petang, lebih 13,000 mangsa banjir direkodkan di lapan negeri, dengan Kelantan menjadi negeri paling terjejas melibatkan lebih 9,000 orang yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Selain itu, beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan, termasuk insiden terkini berhampiran pangsapuri di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh, Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, kerajaan termasuk KKR mengambil pelbagai langkah persediaan bagi mengurangkan impak bencana melalui pengurusan yang lebih baik dari semasa ke semasa.
“Sejurus menerima maklumat kejadian, KKR telah menggerakkan pasukan teknikal JKR ke semua lokasi terjejas untuk menilai keselamatan dan melaksanakan pembaikan segera terhadap infrastruktur kritikal seperti jalan, saliran dan cerun.
“Laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi turut ditutup sementara bagi mengelakkan sebarang kecelakaan, manakala pemantauan 24 jam dijalankan di zon berisiko dengan kerjasama agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian ini, khususnya JKR, untuk melipatgandakan pemantauan dan meningkatkan kehadiran di lapangan selain bekerjasama dengan komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi terlibat bagi mendapatkan maklumat situasi terkini serta memastikan maklumat rasmi disampaikan kepada rakyat dengan pantas.
“KKR bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan sedang bekerja keras demi keselamatan rakyat. Saya akan memastikan perkembangan kerja dan pemantauan disampaikan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kementerian dan agensi-agensi terlibat di bawah KKR,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




