nurul_husna@hmetro.com.my
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan keperluan individu untuk tidur dalam persekitaran kurang 40 dasibel (dB (A) bagi mencegah masalah kesihatan disebabkan bunyi bising ketika malam.
Namun kajian mendapati 40 peratus populasi di Eropah sahaja sudah terdedah kepada ekosistem trafik yang bising iaitu 55 dB (A).
Tiada kaedah lebih efisyen selain menjadikan ruang bilik tidur dalam kediaman sebagai bilik kedap bunyi.
Berikut dikongsikan kaedah kreatif dapat membantu mewujudkan ruang kedap bunyi:
1. Ubah suai panel tingkap
Jalan singkat boleh dilakukan pemilik rumah ialah menukar tingkap lama dengan tingkap khas supaya bilik tidur lebih kedap bunyi.
Jika langkah itu dikatakan membebankan ‘poket,’ cara lain untuk bilik tidur lebih kedap bunyi ialah menggunakan sisipan penyekat bunyi.
Penyekat bunyi boleh menyekat sehingga 70 peratus bunyi yang datang menerusi tingkap.
Selain itu, boleh gunakan kaedah sama untuk pintu bilik.
2. Gantikan pad permaidani standard kepada yang kalis bunyi
Selepas menangani masalah tingkap, tiba masanya untuk melihat bahan kalis bunyi yang boleh bawa masuk ke bilik tidur.
Versi felt dan busa memori dalam bentuk permaidani boleh memberikan lapisan penebat yang padat, mengurangkan bunyi bising dari dalam rumah.
Permaidani material terbabit juga berupaya menambah penebat yang boleh mengekalkan udara sejuk ketika musim panas dan udara hangat ketika musim sejuk.
3. Aksesori atau keperluan bilik tidur menggunakan gentian semula jadi.
Penyelidik University of the West of England, Bristol, England mendapati bahawa bahan semula jadi seperti gentian tumbuhan atau bulu, boleh digunakan untuk membina penyerap bunyi yang mampan terutama membantu mengelakkan pencemaran bunyi.
Langkah seterusnya ialah dengan menambah bantal lempar tambahan (selain itu, tempat duduk akan menjadi lebih selesa berbanding sebelumnya).
Anda juga boleh menambah beberapa bantal gentian semula jadi pada katil selain selimut daripada material bulu atau kapas.
Tekstil lain untuk diterokai bagi sifat peredam bunyinya ialah selimut tebal atau permaidani dinding yang boleh meningkatkan dari segi nilai estetika dan berfungsi.
Matlamatnya adalah untuk tidak mempunyai terlalu banyak permukaan konkrit terbuka di sekelilingnya.
4. Beli langsir mengurangkan bunyi
Langsir tabir matahari yang tebal dapat menghalang cahaya matahari pada sebelah siang.
Bagaimanapun, langsir khusus yang mengurangkan bunyi mungkin pilihan yang lebih baik.
Langsir terbabit akan menambah penebat bunyi yang lebih baik pada rumah selain membantu menangani kos berkaitan pemanasan dan penyejukan rumah.
5. Penggunaan kipas dalam bilik tidur
Kadang-kala dengan menambah bunyi dalam ruang bilik tidur boleh menghalang gangguan daripada bunyi luar.
Cara mudah gunakan kipas untuk wujudkan bunyi bising. Kipas siling, kipas lantai atau mesin bunyi boleh menghalang bunyi latar dan menutup bunyi yang lebih tajam dan bingit (seperti hon kereta atau anjing menyalak) selain membantu anda tidur dengan lebih lena.
Pada asasnya, bunyi yang berterusan boleh menutup bunyi lain yang tidak mahu didengari oleh penghuni kediaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




