Bill Gates dakwa Epstein peras ugutnya tentang hubungan sulit

Bill Gates dakwa Epstein peras ugutnya tentang hubungan sulit

Washington: Pengasas bersama Microsoft Bill Gates memberi keterangan kepada jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang beliau pernah diperas ugut mendiang pesalah seks Jeffrey Epstein, menurut media AS, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Epstein mengetahui mengenai hubungan sulit Gates di luar perkahwinan dan menggunakan maklumat itu sebagai tekanan terhadapnya, kata Gates pada Rabu ketika memberikan keterangan secara sukarela kepada jawatankuasa pemantauan Dewan Perwakilan AS.

Gates, 70, berkata Epstein juga cuba memaksanya untuk menyambung semula hubungan, namun usaha itu gagal.

“Walaupun beliau mungkin cuba menjalinkan hubungan yang lebih rapat secara peribadi, saya tidak pernah berminat dan tidak pernah membalasnya.”

Dalam kenyataan yang disediakan dan dipetik oleh beberapa media AS, Gates berkata beliau bertemu Epstein pada 2011 tetapi memutuskan hubungan dengannya pada 2014 selepas Epstein pada awalnya berjanji untuk mengumpul berbilion dolar sumbangan bagi projek kesihatan global, janji yang tidak pernah menjadi kenyataan.

“Jika masa yang saya luangkan bersama Epstein memberinya sebarang kredibiliti, saya amat kesal,” menurut kenyataan Gates.

Sesi pendengaran itu diadakan secara tertutup tanpa rakaman video.

Jawatankuasa pemantauan di Dewan Perwakilan AS ditugaskan untuk menyiasat rangkaian jenayah seksual Epstein, pembiaya kewangan yang meninggal dunia di dalam penjara pada 2019.

Jutawan dari New York itu mengendalikan rangkaian jenayah seksual membabitkan ramai wanita dan golongan bawah umur sebagai mangsa.

Epstein dikatakan telah mencederakan dan mengeksploitasi remaja bawah umur secara peribadi dalam tempoh beberapa tahun.

Gates dilaporkan mengakui yang pertemuannya dengan Epstein adalah “kesilapan besar dalam pertimbangannya.”

Beliau berkata beliau tidak pernah menyaksikan sebarang perlakuan jenayah.

“Saya tidak pernah pergi ke pulaunya, ladangnya atau rumahnya di Florida. Saya tidak pernah menjadi pelaku terhadap mana-mana mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top