Kehadiran sebuah papan iklan dengan huruf ‘E’ yang menyerupai logo kumpulan rock terkenal Amerika Syarikat, Evanescence, di sekitar Jalan Bukit Bintang mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Lokasi yang terkenal sebagai pusat hiburan dan tumpuan pelancong itu kini hangat diperkatakan, dengan ramai mula membuat spekulasi bahawa kumpulan tersebut bakal kembali mengadakan konsert di Kuala Lumpur selepas lebih sedekad.
Di media sosial, keterujaan peminat jelas terasa apabila ramai berharap khabar angin itu menjadi kenyataan.
“Aku pernah tengok mereka di KL Live sekitar 2012. Kalau betul jadi, memang kena repeat pengalaman tu,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi pula berkongsi rasa teruja dengan lambakan konsert antarabangsa tahun ini.
“Tahun ni memang penuh dengan konsert. Simple Plan pun nak datang, kalau Evanescence betul, memang kena standby bajet lebih,” katanya.
Tidak kurang juga yang sudah memasang impian untuk berada di barisan hadapan sekiranya konsert itu benar-benar berlangsung.
“Kalau mereka datang, aku memang nak berdiri depan sekali. Ini band favourite,” luah seorang peminat.
Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak penganjur mengenai kehadiran kumpulan tersebut ke Malaysia.
Evanescence yang dianggotai Amy Lee, Tim McCord, Will Hunt, Troy McLawhorn dan Emma Anzai kini sedang sibuk dengan siri jelajah antarabangsa mereka.
Untuk rekod, kumpulan berasal dari Arkansas itu pernah mengadakan konsert di Malaysia pada 2012 di KL Live yang menghimpunkan lebih 3,000 peminat.
Nama Evanescence mula mencipta fenomena global pada 2003 menerusi album Fallen yang menampilkan lagu hits seperti Bring Me To Life, Going Under dan My Immortal.




