am@hmetro.com.my
Port Dickson: Seramai 117 penduduk membabitkan 20 rumah di Taman Desa Rusa di sini, berada dalam keadaan bimbang berikutan kejadian cerun runtuh di belakang rumah mereka kembali berulang.
Keadaan itu turut menyebabkan penghuninya di taman itu tidak dapat tidur lena terutamanya ketika cuaca hujan susulan cerun itu berada hanya tiga meter dari rumah mereka.
Menurut suri rumah, Radia Marhawi, 47, kejadian itu bermula Selasa minggu lalu kira-kira jam 12.30 tengahari ketika hujan lebat dan menyebabkan tembok cerun berkenaan runtuh sebelum kejadian kedua berlaku pada Jumaat lepas kira-kira jam 7 malam.
“Setiap kali hujan lebat pasti kami anak beranak akan berasa cemas kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku sebab sebelum ini tanah runtuh hanya sedikit sahaja.
“Mujur pihak bertanggungjawab mengambil tindakan awal dengan menutup runtuhan tanah itu dengan kanvas memandangkan ada mata air yang sentiasa mengalir di bawah cerun ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya tadi.
Sebelum itu Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi turut hadir membuat tinjauan di lokasi bersama agensi terbabit.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sirusa, Mohd Jasrin Kasnin berkata, ini adalah kejadian ke dua berlaku selepas tahun 2020.
Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan daripada masa ke masa bagi memastikan keselamatan penduduk tidak terjejas ekoran kejadian tersebut.
“Kebimbangan kami bukan sahaja cerun belakang rumah ini tetapi kejadian ini berdekatan dengan tangki air, yang kedudukannya bersebelahan dengan rumah penduduk, itu yang merisaukan kami,” katanya.
Sementara itu, Mohd Faizal yang juga adalah ADUN Angkat kawasan berkenaan berkata, kerajaan negeri akan membuat permohonan peruntukkan melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) lebih kurang RM2 juta untuk melaksanakan kerja pembaikan cerun runtuh ini.
“Bagi tempoh masa panjang kita akan meminta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat kajian keselamatan terhadap semua cerun yang ada disekitar taman ini bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang dan membahayakan orang ramai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




