Bimbang keselamatan anak, ibu bapa di Sabah fobia hantar ke asrama – Bung Moktar

Bimbang keselamatan anak, ibu bapa di Sabah fobia hantar ke asrama – Bung Moktar

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini semakin gusar dan fobia untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama susulan insiden berkaitan kes buli yang didakwa semakin berleluasa.

Tanpa menyebut mana-mana kes secara spesifik, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada insiden yang menimpa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah yang meninggal dunia baru-baru ini.

Ibu bapa di Sabah fobia hantar ke asrama

Ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat hari ini, Bung Moktar berkata kes-kes seperti itu membangkitkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa sehingga ada yang enggan lagi menghantar anak ke sekolah berasrama.

“Di Sabah, banyak ibu bapa sudah fobia mahu menghantar anak-anak ke sekolah berasrama ini, sebab mereka kata kami hantar anak kami untuk dibunuh.
“Mereka (pelajar) datang (ke sekolah) untuk mendapatkan ilmu pengajaran, tetapi anak mereka dibunuh, anak mereka dibuat macam-macam… ini tidak betul,” katanya.

Artikel lain: PM Anwar beri jaminan, pelaku kes Zara Qairina tidak akan dilindungi

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu buli terutamanya di sekolah asrama, tanpa mengira jenis institusi sama ada sekolah kebangsaan, vokasional mahupun agama.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada keesokan harinya.

Tambah Bung Moktar, pembentukan peribadi pelajar perlu bermula sejak di peringkat awal persekolahan bagi membina sistem pendidikan yang lebih selamat dan berkesan.

“Menteri Pelajaran perlu lihat perkara ini secara saksama… kita nak buat transformasi, tetapi di sekolah tak boleh nak ‘transform’ (ubah),” tegasnya.

Sumber: BH Online (Adha Ghazali)

Scroll to Top