Bimbang terpalit gosip, Nuha Bahrin jaga nama baik keluarga

Bimbang terpalit gosip, Nuha Bahrin jaga nama baik keluarga

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Nuha Bahrin, 26, tidak menafikan berasa bimbang sekiranya terpalit dengan gosip percintaan dan isu peribadi demi menjaga nama baik diri, ibu bapa dan keluarga.

Nuha atau nama sebenar Nuha Sakina Saiful Bahrin, bagaimanapun menyifatkan kehadiran ibu bapanya yang sentiasa di sisi serta mengenali semua orang di sekeliling menyebabkan keselamatan diri terjamin.

“Mengenai terkait gosip, mestilah saya ada rasa bimbang dan takut. Sebab saya bukan hanya bawa nama diri sendiri, tetapi keluarga juga. Nanti orang akan tanya, siapa anak Bahrin ini kan?

“Apa pun, insya-Allah sebab saya sangat rapat dengan emak. Ditambah, emak juga kenal orang sekeliling saya, bapa pun mengenali kawan-kawan yang sekali gus bukan memantau, tetapi mereka memahami.

“Hubungan kami anak-beranak memang rapat sehingga saya pun rasa tidak mahu merosakkan kepercayaan diberikan mereka. Sebab itu, insya-Allah saya dilindungi Allah daripada apa-apa yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Casablanca duet bersama Naufal Azrin ini, dia tetap menyedari gosip adalah lumrah kehidupan artis yang tidak dinafikan kesukaan segelintir netizen di media sosial.

“Tetapi, biasalah gosip-gosip (artis) ini. Memang ramai orang yang suka. Bagaimanapun, Alhamdulillah setakat ini belum kena gosip lagi. Syukur sangat.

“Kalau dulu, masa awal jadi artis sekitar enam tahun lepas pernah juga saya kena gosip. Namun, gosip itu ke arah benda yang dikaitkan dengan vokal sahaja dan saya kena terus berlatih sahajalah, memperbaiki lagi vokal.

“Tetapi, itu pun sudah buat perasaan saya sangat gementar. Jadi, sampai sekarang perasaan gementar itu masih ada dan saya sedaya-upaya cuba untuk mengawal,” katanya.

Pada 2020 lalu Nuha pernah mendapat kecaman hebat netizen di media sosial ketika menyertai program Vokal Mania di TV3 sebagai ‘rookie’ atau penyanyi amatur.

Pada salah satu episod, Nuha didakwa ‘perosak’ lagu Kekasih Awal dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah disebabkan lontaran vokalnya tidak sampai sekali gus membuatkan lagu itu ‘buruk’ didengar oleh penonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top