Bimbong, kucing cacat yang istimewa

Bimbong, kucing cacat yang istimewa

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kota Bharu: Tabiat suka mendengar alunan ayat suci al-Quran menjadi keistimewaan kucing jantan diberi nama Bimbong ini.

Penjaganya, Zalina Zakaria, 52, berkata, Bimbong yang dipelihara sejak berusia lima bulan akan duduk atau berbaring di tepi sambil merenung dia atau suami ketika mereka mengaji.

Katanya, seolah-olah faham dengan apa yang dialunkan, Bimbong juga hanya tenang dan diam ketika ayat suci diperdengarkan.

“Dia memang istimewa, walaupun kini Bimbong catat kerana patah kaki, dia tetap penting dalam hidup saya,” katanya ketika dihubungi.

Bercerita lanjut, Zalina yang menetap di Melor, Kota Bharu berkata, sudah hampir lima tahun dia memelihara Bimbong yang asalnya kucing jalanan selepas dibuang penjaga terdahulu.

Disebabkan sayangkan kucing dan tidak sampai hati melihat Bimbong, Zalina menyelamatkan haiwan itu dengan membawanya pulang ke rumah.

“Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bimbong hilang seharian. Puas saya mencari sehinggalah jiran beritahu ada nampak kucing dilanggar.

“Rupanya itu Bimbong dan ia bersembunyi dalam semak di tepi jalan. Waktu itu pula, klinik haiwan banyak tutup, jadi saya terpaksa merawatnya sendiri kerana kaki Bimbong tak dapat berdiri tegak.

“Apabila ada kelonggaran pada waktu PKP itu, saya bawa Bimbong ke klinik, namun doktor beritahu tak dapat buat apa-apa kerana sudah terlambat,” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga memberitahu kucing kesayangannya itu sangat senang dijaga dan Bimbong hanya makan ikan rebus tawar, ayam goreng serta makanan kucing.

Katanya, dalam kebanyakan masa, Bimbong akan berada di dalam rumah dan hanya keluar untuk tempoh seketika sahaja.

“Boleh dikatakan Bimbong di luar rumah tak lama, sekadar ambil angin saja dan Alhamdulillah, beratnya kini pun sudah mencecah tujuh kilogram (kg).

“Bimbong kucing yang baik dan tak ada perangai pelik, makan pun tak berebut serta boleh dikatakan mendengar kata. Itu sebabnya kami sekeluarga sangat menyayanginya,” katanya.

Zalina banyak berkongsi gelagat Bimbong di media sosial hingga menarik perhatian ramai pencinta kucing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top