amir_hamid@mediaprima.com.my
Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi medan pertama membina peribadi dan mencorakkan masa depan ahli keluarga.
Dalam dunia yang semakin sibuk dan dipenuhi gangguan digital, mewujudkan aura percambahan ilmu dalam rumah menjadi satu keperluan, bukan lagi pilihan.
Suasana rumah yang sarat dengan elemen ilmu bukan sahaja merangsang minda, malah menenangkan jiwa serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Ia boleh dimulakan dengan langkah kecil, tetapi impaknya besar dalam jangka panjang.
Perpustakaan mini, nadi ilmu keluarga
Tidak perlu ruang yang besar untuk membina mini perpustakaan di rumah.
Cukup sekadar satu sudut khas dengan rak buku yang tersusun rapi, kerusi selesa dan pencahayaan yang baik.
Pemilihan bahan bacaan juga penting. Gabungkan buku agama, motivasi, novel berkualiti, majalah ilmiah serta bahan rujukan untuk anak-anak.
Kehadiran buku secara fizikal dalam rumah memberi mesej jelas bahawa ilmu itu dihargai.
Lebih menarik, jadikan aktiviti membaca sebagai rutin keluarga seperti ’30 minit tanpa gajet’ setiap malam.
Ia bukan sahaja menghidupkan budaya membaca, malah membuka ruang perbincangan sihat antara ibu bapa dan anak-anak.
Seni khat, sentuhan jiwa yang mendalam
Menghias rumah dengan seni khat bukan sekadar memperindah ruang, tetapi turut menyemai nilai spiritual.
Ayat-ayat suci yang dipamerkan mampu menjadi peringatan harian kepada penghuni rumah.
Letakkan karya khat di ruang utama seperti ruang tamu atau ruang makan supaya ia mudah dilihat dan dihayati.
Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mempelajari seni khat sebagai aktiviti kreatif yang mendekatkan mereka dengan al-Quran.
Amalan doa, benteng rohani keluarga
Aura ilmu tidak lengkap tanpa pengisian rohani.
Membiasakan amalan doa dalam kehidupan harian mampu membentuk jiwa yang tenang dan bersyukur.
Doa boleh dilekatkan di tempat strategik mudah dilihat.
Mulakan dengan doa sebelum dan selepas makan, doa keluar masuk rumah serta doa sebelum tidur.
Amalan ini jika dilakukan secara konsisten akan menjadi budaya dalam keluarga.
Lebih baik lagi, adakan sesi ringkas tazkirah atau bacaan al-Quran bersama-sama walaupun hanya 10 hingga 15 minit sehari.
Ia bukan soal tempoh, tetapi istiqamah.
Persekitaran yang menyokong pembelajaran
Selain elemen fizikal dan rohani, suasana rumah juga perlu menyokong proses pembelajaran.
Pastikan ruang belajar anak-anak bebas daripada gangguan, kemas dan selesa.
Hadkan penggunaan gajet pada waktu tertentu supaya fokus terhadap pembelajaran tidak terganggu.
Ibu bapa juga perlu menjadi contoh dengan menunjukkan minat membaca dan menimba ilmu.
Budaya ilmu sebagai gaya hidup
Akhirnya, membina aura percambahan ilmu di rumah bukan sekadar dekorasi atau aktiviti bermusim, tetapi satu gaya hidup.
Apabila rumah dipenuhi dengan buku, dihiasi ayat indah dan dihidupkan dengan doa serta perbincangan ilmiah, ia akan melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berakhlak dan berjiwa besar.
Rumah yang hidup dengan ilmu adalah rumah yang sentiasa diberkati, tenang dihuni, subur dengan fikiran sihat dan kaya dengan nilai kehidupan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




