khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Asas pertimbangan diambil kira Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terhadap cadangan pembinaan kuil hindu dua tingkat berhampiran Apartment Impian Damansara Damai di sini, berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Damansara Damai yang diluluskan pemaju pada 29 Januari 2000.
Menurut MBPJ, tapak cadangan itu juga tapak simpanan agama.
“Melalui peruntukan subseksyen 62 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 56), tapak cadangan juga sudah diwartakan Kerajaan Negeri Selangor pada 17 Jun 2012, sebagai rizab tanah kerajaan bagi maksud awam iaitu suatu tapak untuk tujuan kuil.
“Dan (ia) menetapkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kawalan terhadap tanah rizab itu dan diselenggara Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariaman,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan penduduk Apartment Impian Damansara Damai membantah cadangan pembinaan sebuah kuil dua tingkat yang terletak bersebelahan dengan kawasan perumahan mereka.
Antara sebab bantahan dikemukakan oleh penduduk pembinaannya terlalu dekat dengan tempat tinggal mereka, terdapat tapak pembinaan sekolah dan pembinaan 36 gerai yang bersebelahan tapak itu.
Menurut MBPJ, setiap 1,250 unit rumah mempunyai 5,000 orang penduduk perlu disediakan satu lot kemudahan rumah ibadat selain Islam dengan keluasan 0.25 hingga 0.50 ekar.
MBPJ berkata, perkara itu berdasarkan Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Keempat yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 22 Jun 2022 dan disahkan pada 6 Julai pada tahun sama.
“Pelan susun atur disediakan sudah mematuhi keperluan teknikal seperti penyediaan tempat letak kereta, anjakan bangunan, kawasan landskap, ketinggian bangunan dan kemudahan sokongan lain,” katanya.
Bagaimanapun, menurut MBPJ permohonan kebenaran merancang bagi cadangan pembinaan bangunan kuil itu sudah diluluskan dengan syarat.
Katanya, antara syarat kelulusan kebenaran merancang perlu dipatuhi pemohon pertamanya, menyediakan warden trafik bagi mengawal lalu lintas semasa sesi keagamaan terutama pada waktu puncak.
Kedua katanya, mengemukakan laporan dan gambar menunjukkan bangunan sekitar sebelum kerja pembinaan dimulakan, menginsuranskan harta benda dan bertanggungjawab terhadap kerosakan yang timbul kesan daripada pembinaan bangunan.
Selain itu katanya, kerosakan itu hendak diperbaiki sebelum Sijil Perakuan Bangunan dikeluarkan dan sekiranya kajian bebas perlu dibuat, mereka dikehendaki membiayai kosnya.
“Mereka perlu berjumpa kejiranan berdekatan atau persatuan penduduk bagi memaklumkan projek pembangunan dan menyediakan program kerja sebelum sebarang kerja tanah dan bangunan dapat dimulakan.
“Minit mesyuarat atau catatan perjumpaan dengan penduduk, orang awam, jiran berdekatan hendak dikemukakan ke Jabatan Kawalan Bangunan MBPJ sebelum memulakan kerja pembinaan.
“Notis Berhenti Kerja binaan bangunan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kawalan Bangunan MBPJ sekiranya berlaku kerosakan kepada bangunan jiran bersebelahannya akibat daripada kerja binaan sedang dijalankan,” katanya.
Mengulas lanjut, MBPJ berkata, syarat lain kerja membaiki bangunan jiran rosak hendaklah mengikut spesifikasi pihaknya.
“Kerja binaan bangunan akan hanya boleh diteruskan selepas kerja memperbaiki selesai dibuat dan MBPJ boleh melantik perunding bagi menilai kerja tebabit,” katanya.
dan akan dibiayai oleh pemohon.
“Notis Berhenti Kerja juga akan dikeluarkan kepada pemohon sekiranya menjalankan kerja melebihi waktu kerja yang dibenarkan iaitu jam 8 pagi hingga 6 petang, hari Isnin hingga Sabtu.
“Sementara, pada Ahad dan cuti umum tidak dibenarkan menjalankan kerja-kerja binaan yang berkaitan di tapak bina,” katanya.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd




