Bina laluan khas basikal di jalan utama, elak berkongsi dengan kenderaan berkelajuan tinggi

Bina laluan khas basikal di jalan utama, elak berkongsi dengan kenderaan berkelajuan tinggi

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia perlu mencontohi langkah negara maju seperti Singapura dan Eropah dengan membina laluan khas basikal di lebuh raya dan jalan utama bagi mengelak berkongsi laluan sama dengan kenderaan berat atau berkelajuan tinggi.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, ketiadaan infrastruktur berasingan khusus untuk penunggang basikal bukan sahaja membahayakan mereka, malah turut menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain terutama di lebuh raya berkelajuan tinggi.

“Di Singapura dan kebanyakan negara Eropah, penunggang basikal dilarang menggunakan jalan ekspres.

“Malah, kerajaan melabur dalam laluan basikal khas yang menyediakan alternatif selamat tanpa menjejaskan pengalaman perjalanan jarak jauh yang biasanya dicari penunggang basikal rekreasi.

“Justeru, Malaysia juga harus mengikut jejak ini dengan mewujudkan laluan selari yang selamat untuk penunggang basikal yang tidak mengganggu jalan raya utama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keperluan Malaysia menyediakan laluan khas untuk keselamatan penunggang basikal di lebuh raya.

Ia susulan insiden tular mengenai bahaya aktiviti berbasikal tanpa laluan khas terutama membabitkan laluan sibuk yang direka untuk kenderaan bergerak melebihi 110 kilometer sejam (km/j).

Mengulas lanjut, Law berkata, kerajaan perlu mewujudkan dasar untuk melarang penunggang basikal menggunakan lebuh raya dan jalan berkelajuan tinggi kecuali mereka menyertai acara yang mendapat kebenaran rasmi.

“Lebuh raya direka khusus untuk trafik bermotor berkelajuan tinggi dan tidak mengambil kira kerentanan pengguna basikal.

“Acara berbasikal secara besar-besaran hanya boleh dijalankan dengan pengawalan mencukupi, langkah keselamatan terancang dan sebaiknya berunding dengan agensi penguatkuasa trafik jalan raya.

“Amalan ini dilaksanakan di negara lain apabila acara berbasikal besar dikawal ketat dan akses tanpa kawalan ke jalan ekspres tidak pernah dibenarkan,” katanya.

Katanya, walaupun penunggang basikal berhak menuntut hak sama dengan pengguna lain, namun kehadiran mereka di lebuh raya yang direka untuk kenderaan bergerak pada kelajuan melebihi 110 km/j bukan hanya mendatangkan risiko keselamatan besar kepada golongan itu, malah kepada pengguna jalan lain.

“Walau sejauh mana penunggang basikal perlu diiktiraf sebagai pengguna jalan yang sah, keselamatan mereka dan juga orang lain memerlukan pendekatan lebih teratur dan terkawal mengenai di mana dan bagaimana mereka berbasikal.

“Lebuh raya berkelajuan tinggi tidak sesuai atau selamat untuk aktiviti berbasikal tanpa kawalan.

“Gabungan peraturan tegas, penguatkuasaan, pendidikan awam dan pelaburan dalam infrastruktur diperlukan untuk membolehkan aktiviti berbasikal terus berkembang sebagai kaedah pengangkutan sihat dan mampan, tanpa menjejaskan keselamatan jalan raya,” katanya.

Sebelum ini, tular video memaparkan sekumpulan penunggang basikal berselisih faham dengan seorang pemandu bas dipercayai menghalang laluan bas berkenaan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, arah ke Sungai Buloh selepas lampu isyarat Batu Arang, Kuala Selangor.

Susulan itu, polis merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top