Los Angeles, Amerika Syarikat: Pelakon, Eric Dane, disahkan meninggal dunia pada usia 53 tahun, semalam (waktu tempatan) selepas hampir setahun bertarung dengan penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) atau lebih dikenali sebagai Lou Gehrig.
Berita duka itu disahkan oleh ahli keluarga pelakon yang popular menerusi watak ikonik Dr Mark Sloan atau McSteamy dalam siri Grey’s Anatomy menerusi satu kenyataan rasmi kepada media antarabangsa.
“Dengan hati yang berat, kami berkongsi bahawa Eric Dane sudah meninggal dunia pada petang Khamis (semalam) selepas berjuang dengan penuh berani melawan ALS,” katanya.
Menurut keluarga, hari-hari terakhir bintang Hollywood itu dihabiskan dengan penuh bermakna di samping insan-insan tersayang.
“Dia dikelilingi sahabat rapat, isterinya yang setia, serta dua anak perempuan tersayang, Billie dan Georgia, yang menjadi umpama pusat dunianya,” katanya.
Meskipun menderita sakit, Dane sebelum ini menggunakan pengaruhnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit saraf berkenaan sejak mendedahkan diagnosisnya 10 bulan lalu.
“Eric menjadi penyokong tegar dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penyelidikan, bertekad untuk memberi perubahan kepada mereka yang menghadapi pertarungan penyakit sama.
“Dia amat menyayangi peminatnya dan sentiasa bersyukur atas sokongan yang diterima selama ini,” katanya.
Keluarga mendiang turut memohon ruang privasi bagi mengharungi detik sukar dan duka ini.
Selain Grey’s Anatomy, Dane juga dikenali menerusi lakonan manta dalam siri Euphoria dan filem Marley & Me, Burlesque dan Valentine’s Day.
© New Straits Times Press (M) Bhd




