mohamadridzuan@hmetro.com.my
Setahun sekali Amy Mastura pasti akan diraikan oleh peminatnya yang bernaung di bawah jenama Amy Mastura Fan Club (AMFC) dalam majlis istimewa Hari Raya.
Itu sudah memadai sebagai tanda silaturahim memandangkan semua mereka terikat dengan komitmen masing-masing.
Bagi Amy, 54, dia terharu kerana menganggap mereka sebagai ahli keluarga besar yang teguh berada di belakang menyokong kariernya.
“Setiap tahun ini aktivitinya. Macam biasa, semua diuruskan oleh ahli jawatankuasa AMFC termasuk permainan dan saya hanya hadir memeriahkan.
“Kehadiran mereka juga lebih kurang sama setiap tahun. Dari jauh dan dekat semuanya ada. Mereka memang tak ketinggalan.
“Menariknya, yang dulu kecil sekarang dah besar bujang, kini dah kahwin dan ada anak-anak. Kini bawa anak-anak ke majlis ini,” katanya.
Ditanya aktiviti terkini, penyanyi lagu Meniti Hari, Sha Na Na dan banyak lagi lagu popular ini memaklumkan, dia kini jarang keluar di tempat awam dan memperlahankan aktiviti seninya.
“Apabila ada majlis ini satu peluang berjumpa balik semua orang. Untuk majlis tempoh hari saya hanya hadir seorang diri sebab suami dekat ‘offshore’.
“Anak-anak (Adriana, 24, dan Adalia, 20) pun tak ikut kerana ada aktiviti sendiri. Mereka sering ada urusan sendiri dan tinggal saya di rumah seorang.
“Saya duduk rumah dan jadi suri rumah. Saya tak buat apa-apa dan hanya teruskan buat ‘endorsement’ yang mana saya terbabit,” katanya.
Menurutnya, sekali sekala jika ada tawaran berlakon dan menyanyi, dia menerimanya bergantung pada masa yang sesuai.”Sebelum puasa saya berlakon dalam drama Berbahagi Suami. Setakat ini belum ada tawaran lain. Saya tak kisah tawaran berlakon drama bersiri atau cereka asalkan kena pada masanya.
“Saya tak mencari peluang berlakon. Ada rezeki ada lah. Ia bukan lagi keutamaan macam dulu,” katanya.
Tawaran menyanyi pula tetap ada walaupun tidak semeriah dulu.”Sikit-sikit. Sekadar memenuhi undangan. Dari segi album rakaman pula, saya masih ada kontrak dengan Sony Music Entertainment.
“Setakat ini belum nampak mereka ada perancangan nak hasilkan album baharu. Saya pun tak kisah sangat kerana saya pun tak nak ke mana-mana dah.
“Ikutkan kontrak dah habis, tapi saya masih berhutang satu album. Industri rakaman kita pun dah tak macam dulu dan sangat berbeza. Dulu, tamat saja kontrak dengan satu syarikat rakaman, berebut-rebut syarikat lain nak ambil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




