'Bintang kecil' Marvel

'Bintang kecil' Marvel

nurul_husna@hmetro.com.my

Peminat filem Marvel Thunderbolt pasti tidak lupa karakter tikus belanda yang bertahan dalam babak tembak-menembak di makmal.

Keletah haiwan itu yang turut sama menyelamatkan diri membuatkan peminat haiwan resah dengan nasibnya.

Meskipun dianggap sebagai ‘cameo,’ karakter tikus belanda itu cukup meninggalkan kesan kepada penonton filem berkenaan yang berharap kemunculan haiwan itu lagi untuk sekuel seterusnya.

Namun, satu fakta menarik mengenai haiwan comel itu, ia sebenarnya miliki pencinta tikus belanda kelahiran tempatan, Ryan Low Chee Keong, 33.

Dia pada awalnya terkejut menerima panggilan daripada kru Marvel yang mencari tikus belanda untuk penggambaran filem itu.”Mengenai pembabitan Cherry (nama panggilan tikus belanda terbabit) dalam filem itu bermula dengan panggilan telefon.

“Kru filem itu memperkenalkan diri mereka dari Marvel dan mencari tikus belanda untuk melakonkan satu karakter dalam babak filem berkenaan.

“Saya terkejut dapat panggilan itu dan memutuskan untuk mengabaikannya kerana bimbang itu adalah ‘scammer.’

“Tetapi, apabila mereka berusaha menghubungi beberapa kali termasuk mengunjungi tempat peliharaan tikus belanda, saya terima tawaran ‘kerja’ itu.

“Saya antara pemilik ‘hardcore’ untuk tikus belanda dan pembiak baka yang memiliki koleksi yang banyak untuk haiwan terbabit,” katanya.

Dia yang juga pengasas Jack and Ryan Caviary bersama rakannya, turut memiliki kira-kira 13 baka berlainan bagi 500 tikus belanda peliharaannya.

“Mungkin juga kru Marvel itu mengetahui berkenaan koleksi tikus belanda yang saya miliki adalah pelbagai membuatkan mereka datang ke sini dan mencari tikus belanda yang sesuai.

“Proses itu berlaku secara berperingkat iaitu mereka datang ke tempat saya dan memilih Cherry kerana tompokan warna dan ciri-ciri tikus belanda itu sepadan dengan karakter dalam filem berkenaan.

“Boleh dikatakan tempoh bermula saya dihubungi sehingga Cherry selesai penggambaran ialah enam bulan,” katanya.

Tambah Ryan lagi, Cherry turut menjadi pilihan kerana jinak dan mudah diurus.

“Pengalaman saya membawa Cherry menyertai barisan pelakon Thunderbolt sebenarnya ia sesuatu yang unik.

“Seperti pelakon lain, Cherry masih perlu melalui proses uji bakat. Di sini produksi melihat ‘bakat’ dan kejinakan tikus belanda saya itu.

“Elemen ini penting bagi memastikan perjalanan penggambaran berlangsung dengan lancar.

“Saya juga bawa Cherry untuk sesi pemilihan pakaian dan latihan diaturkan produksi.

“Sebenarnya karakter Cherry yang tenang dan mudah memberi kerjasama menjadikan proses atau perjalanan menjayakan penggambaran itu sesuatu yang menyeronokkan buat saya,” katanya.

Meskipun teruja dengan karier pertama ‘Cherry’, namun sebagai pemilik dan pencinta haiwan, Ryan tidak lupa memastikan tikus belanda itu selesa di lokasi penggambaran.

“Karakter tikus belanda berbanding tikus biasa atau ‘hamster’ adalah haiwan ini sangat manja dan tenang.

“Reaksi tikus belanda apabila takut biasanya akan menyembunyikan diri dan mengeluarkan bunyi ‘whik’ ‘whik.’

“Kadangkala kalau terlalu takut, tikus belanda ‘membatukan’ diri dan menunjukkan reaksi wajah terkejut untuk satu tempoh yang lama.

“Ini adalah daya penarik sebenarnya kerana rupanya sangat comel dan lucu.

“Jika ini berlaku termasuk ketika penggambaran saya tenangkannya dengan cara memeluk rapat ke dada. Teknik ini sangat membantu untuk Cherry rasa selamat dan kekal tenang,” katanya.

Malah dia menyifatkan tikus belanda dipeliharanya lebih manja dan memiliki karakter lebih ceria.

“Sebagai pencinta tikus belanda, saya ‘jatuh cinta’ dengan keletah atau karakter manja haiwan itu.

“Saya sudah pelihara sejak 2012 dan aktif menyertai pelbagai pertandingan anjuran Pertubuhan Penternak Arnab Malaysia (Marba).

“Tikus belanda peliharaan saya lebih mesra dan sudah biasa dibawa ke luar. Mungkin itu lagi satu faktor membuatkannya lebih mudah diurus ketika penggambaran filem Marvel terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top