Seoul: Bintang Korea, Yoo Ah-in, 38, didapati bersalah kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah terlarang.
Mahkamah daerah di sini, menjatuhkan hukuman satu tahun penjara kepada pelakon itu dan diarah membayar denda 2 juta won (AS$1,490).
Menurut laporan agensi Berita Yonhap, pelakon siri fantasi gelap Netflix iaitu Hellbound itu ditahan serta merta selepas hakim membacakan hukuman berkenaan.
Ah-in sebelum ini diberkas pihak berkuasa kerana salah guna dadah jenis propofol, midazolam, ketamin dan remimazolam antara tahun 2020 hingga 2022.
Dia turut didakwa atas kesalahan memiliki 1,100 biji pil tidur yang dibelinya dengan menggunakan nama individu lain.
Dalam perbicaraan mahkamah sebelum ini, Ah-in berkata dia sudah lama mengalami kemurungan, panik dan gangguan tidur kerana kehidupannya sebagai selebriti, mengakui kebergantungannya kepada anestetik.
Ah-in juga melahirkan penyesalan atas kesalahannya dan memberi jaminan mengenai perubahan dirinya.
“Walau apa pun keputusan mahkamah, saya akan membalas mereka yang menjaga saya dengan berusaha menjadi lebih sihat dan jujur serta menjalani hidup sebagai seseorang yang boleh menyumbang kepada masyarakat.” katanya.
Ah-in turut dikenali menerusi drama dan filem antaranya Secret Love Affair (2014) dan Veteran (2015). Selain dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik pada majlis penganugerahan perfileman Blue Dragon ke-41 bagi persembahannya dalam filem The Throne dan Voice Of Silence.
© New Straits Times Press (M) Bhd