Bintang muda Midtjylland jadi mangsa tikaman

Bintang muda Midtjylland jadi mangsa tikaman

Herning: Pemain tengah FC Midtjylland, Alamara Djabi kini berada dalam keadaan stabil selepas menjadi mangsa tikaman dalam satu insiden di Denmark, hujung minggu lalu.

Kelab itu memaklumkan pemain berusia 19 tahun terbabit dalam kejadian di Herning sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

Menurut kenyataan kelab, Djabi menjalani pembedahan kecemasan sebelum melalui satu lagi prosedur susulan.

“Dia sebelum ini berada dalam keadaan kritikal dan menjalani pembedahan kecemasan.

“Sejak itu, dia menjalani satu lagi pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil hasil usaha pasukan perubatan serta petugas kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Djabi yang juga produk akademi SL Benfica dilaporkan sudah sedar daripada koma yang diinduksi dan menunjukkan perkembangan positif.

Midtjylland memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa selain memberikan sokongan kepada Djabi dan keluarganya.

Pemain muda itu menyertai kelab berkenaan pada 2023 dan sudah membuat dua penampilan bersama skuad senior.

Dalam saingan liga, Midtjylland kini berada di tangga kedua Kumpulan A Liga Super Denmark, ketinggalan dua mata di belakang AGF.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top