Industri hiburan Asia sememangnya tidak ketandusan bakat apabila ramai pelakon dari rantau ini berjaya menembusi pasaran Hollywood.
Namun, persoalan timbul sama ada pelakon dari Thailand turut berpeluang mencipta nama di pentas antarabangsa.
Hasil tinjauan mendapati, terdapat beberapa pelakon Thailand yang bukan sahaja berjaya menembusi industri filem antarabangsa, malah turut menyerlah dalam karya bertaraf global.
Tony Jaa: Ikon Aksi Bertaraf Dunia
Nama Tony Jaa tidak asing lagi dalam dunia perfileman aksi. Dia merupakan bintang filem aksi paling terkenal di Thailand dengan deretan karya popular seperti Ong Bak, Tom Yum Kung serta The Protector. Kehebatannya dalam seni bela diri dan aksi lagak ngeri membuka ruang untuk dirinya menembusi Hollywood.
Antara filem antarabangsa yang menampilkannya termasuk Fast & Furious 7, Master Z: Ip Man Legacy, Triple Threat dan Expend4bles. Jika Hong Kong berbangga dengan Jackie Chan, Thailand pula memiliki Tony Jaa sebagai simbol kebanggaan.
Mike Pirat: Dari Penyanyi ke Layar Perak Hollywood
Mike Pirat mula dikenali sebagai penyanyi duo bersama abangnya, Golf Pichaya pada awal tahun 2000-an. Lagu-lagu mereka pernah menjadi kegilaan remaja ketika itu.
Kini, Mike beralih arah sebagai pelakon dan berjaya menembusi Hollywood menerusi filem The Misfits pada 2021. Dalam filem tersebut, dia memegang watak pembuat bom dan berpeluang berlakon bersama Pierce Brosnan. Pengalaman itu disifatkannya sebagai amat berharga kerana banyak ilmu dipelajari sepanjang penggambaran.
Mario Maurer: Bintang Asia Dengan Pengaruh Global
Nama Mario Maurer mula dikenali di China selepas membintangi filem Love On That Day pada tahun 2012. Sejak itu, dia berjaya mengumpul ribuan peminat dari seluruh Asia.
Di Thailand, Mario dikenali sebagai pelakon utama yang sering mencuri perhatian peminat wanita. Antara filem popular lakonannya termasuk The Love of Siam, A Little Thing Called Love dan Pee Mak. Selain berlakon, Mario juga meminati aktiviti seperti papan luncur, kereta klasik dan muzik hip-hop, serta mengendalikan saluran YouTube sendiri, Mario World.
Sara Malakul Lane: Wajah Thailand di Hollywood
Sara Malakul Lane mungkin kurang dikenali di negara asalnya. Namun dia aktif dalam industri Hollywood. Antara filem yang dibintanginya ialah Jailbait yang mengisahkan kehidupan dalam penjara wanita yang penuh dengan konflik.
Sara memulakan kerjaya seawal usia 15 tahun menerusi kemunculan dalam video muzik sebelum beralih ke drama tempatan dan seterusnya melebarkan sayap ke Amerika Syarikat.
Ying Rhatha: Bakat Serba Boleh di Pentas Antarabangsa
Ying Rhatha Po-ngam merupakan antara pelakon Thailand yang berjaya mencipta nama di Hollywood. Dia merupakan anak kepada pelawak terkenal Thailand, Suthep Po-ngam.
Ying Rhatha pernah berlakon dalam filem Only God Forgives bersama Ryan Gosling. Selain itu, Sara turut muncul dalam Mechanic: Resurrection sebagai pembawa mesej kepada watak lakonan Jason Statham. Selain berlakon, Sara juga aktif sebagai penyanyi dan pengacara televisyen.




