Bintang Uni-Verse Buka Laluan Pelajar Jadi Penyanyi!

Bintang Uni-Verse Buka Laluan Pelajar Jadi Penyanyi!

Universal Music Malaysia (UMMY) bersama L.Y. Music Factory dan Faithful Music melancarkan program pencarian bakat baharu, Bintang Uni-Verse, khusus untuk mencungkil potensi nyanyian dalam kalangan pelajar universiti tempatan.

Program itu dirasmikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, sekali gus menandakan usaha menghubungkan dunia akademik dengan realiti industri muzik tanah air.

Bintang Uni-Verse bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya platform pembangunan bakat yang memberi pendedahan langsung kepada peserta mengenai selok-belok industri hiburan termasuk bimbingan profesional dan pengalaman sebenar bersama pemain industri.

Pelancaran program turut disertai pemeteraian kerjasama strategik antara Universal Music Malaysia dan lima universiti awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, program ini membuka ruang kepada bakat muda untuk membina jaringan dan pengalaman industri sejak di bangku universiti.

“Bintang Uni-Verse menjadi platform yang menyatukan bakat dan peluang, dengan harapan melahirkan generasi artis baharu yang mampu bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan artis naungan Universal Music Malaysia seperti Nuha Bahrin, Ismail Izzani dan Mohsein Kush, yang mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan bakat muzik tempatan.

Maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat, jelajah kampus dan syarat penyertaan akan diumumkan melalui platform rasmi Universal Music Malaysia dalam masa terdekat.

Scroll to Top