KUANTAN – Ketika Malaysia berdepan cabaran peralihan tenaga, keselamatan bekalan dan tuntutan ekonomi rendah karbon, pembukaan Kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng muncul sebagai langkah strategik nasional dalam memperkukuh landskap tenaga hijau negara.
Perasmian kilang berteknologi tinggi yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga menandakan komitmen sektor swasta menyokong agenda Ekonomi MADANI dan sasaran kelestarian negara.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Holdings Berhad, Yeo Hock Cheong berkata, bio tenaga memainkan peranan penting sebagai penyelesaian peralihan yang realistik, boleh diskalakan dan tersedia untuk digunakan ketika dunia beralih ke arah tenaga bersih.
“Kilang ini bukan sahaja mengukuhkan keselamatan tenaga, malah menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Hadir sama Pengerusi Eldridge Energy Holdings Berhad, Tan Sri Dr. Azmil Khalili Khalid, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Sultan Abdullah melihat bahan mentah daripada isirung kelapa sawit
Sementara itu, Eldridge Energy dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pembangunan ini merupakan sebahagian daripada program perbelanjaan modal syarikat bernilai RM68.14 juta, seperti yang digariskan dalam prospektus kumpulan, bagi mewujudkan rangkaian kemudahan pemprosesan biojisim baharu di Kuantan, Pasir Gudang dan Lahad Datu.
“Pelaburan ini menegaskan pelaksanaan strategik dan berdisiplin kumpulan dalam menggunakan hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk meningkatkan keupayaan pemprosesan, memperkukuh kesiapsiagaan bekalan, serta menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” kata syarikat itu.
Kemudahan di Gebeng mewakili tonggak utama strategi jangka panjang kumpulan untuk membina platform biojisim berkualiti tinggi yang berorientasikan eksport, selaras dengan peralihan tenaga global yang semakin pesat.
Direka untuk menghasilkan PKS bertaraf eksport, kemudahan ini diperakui di bawah pensijilan antarabangsa Green Gold Label (GGL), mencerminkan komitmen Eldridge Energy terhadap piawaian kelestarian yang ketat, kebolehkesanan rantaian bekalan sepenuhnya, serta integriti data karbon yang kukuh dari sumber hingga ke pasaran akhir.
Pemilihan Gebeng Industrial Estate sebagai lokasi operasi disifatkan strategik berikutan kedudukannya berhampiran Pelabuhan Kuantan sekali gus menyokong kecekapan logistik, eksport berskala besar dan kebolehpercayaan bekalan jangka panjang.
Projek bio tenaga ini juga dianggap sebagai pemangkin baharu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar di Pantai Timur sambil mewujudkan peluang pekerjaan, pembangunan rantaian bekalan tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global tenaga boleh diperbaharui.
Elridge Energy juga dijangka terus memperluas kapasiti tenaga hijau negara secara berdisiplin sejajar keperluan pasaran jangka panjang dan keutamaan keselamatan tenaga nasional.
Kilang Bio Enerco di Gebeng, Kuantan merupakan yang ketiga milik syarikat itu selepas di Telok Gong Pelabuhan Klang dan Kapar, Klang (Selangor) dan yang berikutnya bakal dibuka di Pasir Gudang, Johor.



