Biopolimer solusi mesra alam lindungi ikan ternakan

Kuala Lumpur: Ikan air tawar seperti tilapia, patin dan keli merupakan antara sumber utama protein bagi rakyat Malaysia. Seiring peningkatan permintaan, industri penternakan ikan turut berkembang — termasuklah penggunaan sistem sangkar terapung di sungai, tasik dan empangan. Sistem ini bukan sahaja menjimatkan ruang tanah, malah lebih mesra alam dan membolehkan pengurusan ternakan yang lebih efisien.

Sangkar terapung dibina daripada bahan tahan lasak seperti paip HDPE dan jaring nilon. Ia membolehkan air mengalir bebas, membantu mengekalkan paras oksigen, suhu dan kualiti air yang sesuai untuk kesihatan ikan. Kaedah ini juga membolehkan lebih banyak ikan diternak dalam satu masa — namun, ia datang bersama cabaran besar: risiko penyakit berjangkit.

Kepadatan ikan yang tinggi dalam ruang terhad meningkatkan potensi penularan penyakit, terutamanya yang berpunca daripada bakteria, virus dan parasit. Dalam banyak kes, antibiotik digunakan sebagai rawatan utama. Tetapi, penggunaan antibiotik yang kerap dan tidak terkawal boleh membawa kepada satu lagi masalah: kemunculan bakteria tahan antibiotik.

Bakteria jenis ini mampu bertahan walaupun selepas diberi antibiotik biasa. Bila ini berlaku, penyakit menjadi sukar dikawal, menyebabkan kos rawatan meningkat dan kematian ikan meningkat secara mendadak. Situasi ini bukan sahaja merugikan penternak, tetapi juga menimblkan kebimbangan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Sebagai alternatif, penyelidik kini meneroka penggunaan agen bioterapeutik — bahan yang berasal daripada organisma hidup untuk merawat atau mencegah penyakit. Contohnya termasuklah bakteriofaj, vaksin, antibodi, dan terapi berasaskan sel. Namun, bahan-bahan ini bersifat rapuh. Ia mudah terurai atau hilang keberkesanan apabila terdedah kepada suhu tinggi, cahaya matahari atau perubahan pH.

Di sinilah biopolimer memainkan peranan penting.

Biopolimer ialah bahan semula jadi seperti agar-agar (daripada rumpai laut) dan kanji (daripada ubi kayu). Ia digunakan sebagai bahan “pembungkus” atau enkapsulasi untuk melindungi agen bioterapeutik sepanjang proses penyimpanan dan penghantaran. Dalam konteks akuakultur, biopolimer membolehkan agen terapeutik dihantar ke dalam tubuh ikan dengan lebih selamat dan berkesan.

Lebih menarik, struktur molekul biopolimer boleh diubah suai agar bahan terapi dilepaskan secara perlahan-lahan dan terkawal. Ini bermakna, ikan akan menerima dos yang mencukupi dalam tempoh yang lebih panjang — seumpama ubat “slow-release”. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan rawatan, malah mengurangkan keperluan dos berulang.

Tambahan pula, dengan teknik tertentu, biopolimer boleh direka untuk menghantar bahan terapeutik secara bersasar — hanya ke bahagian tubuh ikan yang terjejas. Ini boleh dicapai melalui pengubahsuaian permukaan biopolimer agar ia ‘mengenali’ tisu berpenyakit, seperti kunci dan mangga. Kesannya, rawatan menjadi lebih tepat dan risiko kesan sampingan dapat dikurangkan.

Satu lagi kelebihan biopolimer ialah sifatnya yang mesra alam. Ia boleh diperbaharui, terbiodegradasi, dan tidak mencemarkan alam sekitar. Berbeza dengan polimer sintetik yang boleh meninggalkan sisa toksik, penggunaan biopolimer membantu mengurangkan kesan jangka panjang terhadap ekosistem air.

Beberapa kajian terkini turut menyokong potensi besar biopolimer dalam akuakultur. Sebagai contoh, alginat — sejenis biopolimer dari rumpai laut — telah digunakan sebagai medium pembawa vaksin kepada ikan. Hasil kajian menunjukkan bahawa ia berkesan dalam mengurangkan kadar kematian akibat jangkitan bakteria.

Kesimpulannya, penggunaan biopolimer sebagai medium penghantaran agen bioterapeutik membuka lembaran baharu dalam industri akuakultur. Ia bukan sekadar teknologi rawatan alternatif, tetapi juga satu pendekatan holistik yang menyatukan kesihatan haiwan, kelestarian alam dan inovasi sains.

Dengan mengguna pakai teknologi ini, para penternak dapat meningkatkan hasil ternakan sambil mengekalkan keseimbangan ekosistem. Dalam jangka panjang, biopolimer berpotensi menjadi salah satu solusi mampan paling berkesan untuk menyokong pertumbuhan industri akuakultur negara.

Oleh: Nur Syazana Aziz, Suriani Ibrahim

Nur Syazana Aziz ialah penyelidik ijazah kedoktoran, manakala Ir Dr Suriani Ibrahim ialah pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Mekanik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di sue_83@um.edu.my

 

Scroll to Top