razis@mediaprima.com.my
OTAI masih berbisa. Demikian gambaran diberikan kepada pendaki tembok tiruan veteran, Mohd Zamri Hamid yang berjaya mengharumkan nama negara selepas memenangi kejohanan CRANK Lead 2024 bagi kategori Master Lead baru-baru ini.
Pada usianya yang mencecah 53 tahun, bapa lima anak ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang meraih kejayaan menewaskan peserta daripada luar negara termasuk New Zealand, Indonesia dan Thailand
Lebih manis, kejayaan itu turut dikongsikan bersama dua anaknya, Dzukram, 21 dan Dzuhair Alzam, 17, masing-masing meraih tempat ketiga dan kedua bagi kategori terbuka dan 17 hingga 18 tahun.
Mohd Zamri bukan calang-calang individu dalam sukan mendaki tembok apabila pernah mewakili negara dalam sukan X-Games.
Mohd Zamri mengakui sudah bersara dari menyertai sebarang pertandingan memanjat tembok di dalam dan luar negara sejak 15 tahun lalu.
“Untuk kejohanan ini saya berpeluang kembali beraksi selepas penganjur memperkenalkan kategori Master untuk pendaki berusia 40 tahun ke atas di samping menemani dua anak yang menyertai kejohanan ini.
“Bukan mudah bersaing dengan peserta dari luar negara. Saya bersyukur dengan kejayaan ini dapat mengharumkan nama negara,” katanya.
Berkongsi rahsia masih cergas biarpun berusia lebih 50 tahun, Mohd Zamri masih mengekalkan rutin bersenam dan memanjat tembok yang diamalkan sejak 30 tahun lalu.
“Biarpun sudah lama tidak beraksi dalam sebarang pertandingan, saya kini menjadi jurulatih di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar, Kedah dan terbabit mempersiapkan laluan untuk kejohanan mendaki tembok dalam negara.
“Sebagai jurulatih, saya perlu menjadi contoh yang baik dengan bersenam dan memanjat tembok tiruan setiap hari untuk melahirkan lebih ramai atlet mendaki,” katanya.
Sementara itu, bagi Dzukram, penyertaan bapanya dalam kejohanan itu, menjadi pembakar semangat kepada dirinya bersaing dalam kategori terbuka yang menghimpunkan peserta pengalaman dari dalam dan luar negara.
“Sebelum ini, ayah selalu datang hantar saya serta adik menyertai pertandingan dan kali ini apabila ayah turut menyertai pertandingan, ia memberi semangat untuk beri yang terbaik.
“Peluang memanjat di laluan yang mencabar dan bersaing dengan peserta luar negara memberi pengalaman berharga untuk menjadi atlet lebih baik di masa depan,” katanya.
Perkara sama dikongsikan peserta wanita tempatan, Shareen Mohd Nasran, 18, yang menyertai kejohanan itu bagi kategori terbuka wanita.
Bagi Shareen, kejohanan itu adalah platform terbaik memberi pendedahan kepada golongan muda sepertinya untuk terbabit sukan lasak itu.
“Sejak terbabit dengan sukan ini, saya lihat ramai golongan muda di negara ini mempunyai bakat dan kemampuan bersaing dalam sukan ini.”Harapan saya
lebih banyak kejohanan seperti ini diadakan dari semasa ke semasa bagi melahirkan lebih ramai pendaki tembok berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Camp5 Climbing Gym, Jeremy Peet berkata, seramai 350 peserta pendaki tembok tiruan daripada 32 negara menyertai kejohanan ini.
“Kejohanan ini memberi peluang kepada semua bakat dalam sukan ini tanpa mengira taraf profesional mereka untuk menyertai acara yang mempunyai piawaian kejohanan dunia ini.
“Acara ini bukan sahaja menguji kemampuan atlet tempatan dan di tembok tiruan di Camp5, malah terbuka kepada peserta kanak-kanak seawal usia enam tahun. Kami percaya setiap individu dalam komuniti pendaki mempunyai kehebatan tersendiri ketika bertanding,” katanya.
Katanya, kejohanan ini mampu menjadi platform menarik kunjungan pelancong sukan antarabangsa ke negara ini.
“Komuniti pendaki Malaysia berkembang dengan pesat dan Kuala Lumpur mudah dihubungkan dengan ibu kota lain di Asean, membolehkan Camp5 menjadi destinasi komuniti pendaki antarabangsa untuk ke Malaysia bagi pelancongan sukan.
“Dengan kedudukan Malaysia yang strategik, kejohanan ini terus mendapat sambutan komuniti pendaki antarabangsa bukan sahaja dari rantau Asean, malah rantau dunia yang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




