Black hadiahkan isteri kereta Mercedes

Black hadiahkan isteri kereta Mercedes

Kuala Lumpur: Penyanyi Black Hanifah, 38, menghadiahkan isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi sebuah kereta mewah jenis Mercedes-AMG GLC43 sebagai kejutan istimewa.

Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, pemberian itu sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan dan kasih sayang isterinya tersayang sepanjang perkahwinan mereka.

“Kadang-kadang kita terlalu sibuk cari yang sempurna, sampai lupa hargai yang sentiasa ada di sisi. Hari ini aku hadiahkan sebuah kereta, tapi hakikatnya takkan pernah cukup membalas semua pengorbanan dan kasih sayang yang dia beri,” katanya.

Menerusi video itu, asalnya Black cuma membuat ulasan kereta di sebuah pusat pameran.

Tanpa disangka, rupa-rupanya ia majlis penyerahan rasmi kereta mewah yang dibelinya lebih awal untuk isteri tercinta.

Dia memberitahu kereta itu sebenarnya sudah lama menjadi idaman isterinya yang turut mesra disapa sebagai Cira.

“Bukan sebab hari istimewa tapi sebab dia sendiri adalah istimewa. Hargailah orang yang kita sayang, bukan nanti bila dia tiada tapi sekarang, sewaktu dia masih tersenyum di hadapan mata,” katanya.

Naquia juga jelas sangat tersentuh kerana kejutan itu benar-benar menjadi kali ini.

Tindakan romantis Black itu juga berjaya menyentuh hati ramai. Bahagian komen hantaran video itu dibanjiri kata-kata semangat dan doa agar mereka terus kekal bahagia.

“Alhamdulillah, semoga rezeki kalian terus melimpah ruah. Bahagia tengok suami yang hargai pengorbanan isteri. Susah nak cari zaman sekarang. Saya bangga dengan awak Black.

“Bahagiakan isteri akan dimurahkan rezeki selalu. Respek. Semoga Black dan isteri terus setia dan bahagia selalu,” itu antara komen netizen.

Black dan Naquia mendirikan rumah tangga pada 13 September 2013 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top