syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: Penyanyi, Black Hanifah, menasihatkan pempengaruh media sosial agar menjaga keperibadian diri dan tidak melakukan perkara yang merosakkan kredibiliti mereka.
Black, atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, berkata demikian ketika ditanya mengenai berita berkaitan seorang pempengaruh sensasi yang baru-baru ini didakwa melakukan jenayah seksual.
“Untuk isu ini saya pun tak boleh komen panjang, tetapi, saya sebagai seorang abang yang mengenali dia, dia seorang yang sangat menjaga tutur bahasa bila bercakap.
“Dia suka berterima kasih cuma muka dia sajalah yang ganas. Sewaktu berita itu muncul, saya sendiri pun terkejut.
“Sebagai seorang abang, saya ingin nasihatkan kepada rakan-rakan dan pempengaruh yang lain untuk jaga diri.
“Isu seperti ini akan merosakkan kredibiliti mereka sebagai pempengaruh yang dikenali,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya, setiap tindak tanduk yang merosakkan kredibiliti mereka akan merugikan mereka.
“Kerjaya mereka akan ‘habis’ macam itu sahaja. Saya tak naklah jadi macam itu sebab sayang, rezeki ini Allah yang bagi ini tak senang,” katanya.
Enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, Black meminta masyarakat untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.
Black ditemui pada sidang media konsert Exclusive Night Nyawa Black Hanifah yang berlangsung di Bukit Jelutong.
Konsert itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) pada 26 Julai ini.
Black dijangka menghiburkan peminat menerusi lagu-lagu popularnya sepanjang 17 tahun berada di dalam industri.
© New Straits Times Press (M) Bhd