norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah bersama filem Blood Brothers: Bara Naga iaitu Abhilash Chandra bersyukur filem aksi itu berjaya menawan hati penonton tanah air kerana sudah melakukan yang terbaik dalam karya berkenaan.
Terbaharu, kutipan ‘box-office’ Blood Brothers kini sudah mencecah RM45.7 juta dalam tempoh 11 hari tayangan dan ia boleh disifatkan di luar jangkaan dan bakal mencetus fenomena tersendiri.
Abhilash berkata sebagai pembikin filem tempatan, kejayaan dicapai oleh Blood Brothers dari segi kutipan di pawagam kerana olahan jalan cerita dan skripnya yang kuat dan boleh diterima penonton.
“Budaya kita, masyarakat kita memang suka tonton filem kalau ia dibuat dengan teliti dan bagus. Jadi, penulisan skrip adalah penting dan segalanya.
“Benda ini (filem) adalah satu cerita. Ditambah lagi, kepentingan juga kepada barisan pelakon dipilih dan juga sentuhan daripada pengarah.
“Paling penting juga, jalan ceritanya kena ada ‘connect’ dengan orang Malaysia. Kalau syok sendiri nak buat filem macam Hollywood saja, tapi kalau tak kena dengan ‘taste’ orang kita, tak boleh juga.
“Apapun, dengan jumlah kutipan yang baik ini, kita bersyukur sajalah. Termasuk yang penting lagi, pelabur kami dapat modal mereka semula dan keuntungan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Abhilash, dia juga berterima kasih kepada rakan pengarahnya dalam Blood Brothers, Syafiq Yusof dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam kerana memberi kepercayaan dan peluang kepadanya untuk berkarya.
Filem Blood Brothers adalah naskhah kedua layar perak hasil kerjasama Abhilash dan Syafiq selepas filem Polis Evo 3 yang ditayangkan pawagam pada 2023 lalu.
Baru 11 tahun aktif dalam pembikinan filem tempatan, Abhilash mengakui dia masih perlu menimba banyak lagi pengalaman dalam pembikinan filem dan berkonsep Malaysia.
Filem Blood Brothers: Bara Naga yang menemui penonton sejak 10 April lalu, diterbitkan oleh Skop Productions dan Primeworks Studios dengan bajet RM7 juta dibarisi pelakon hebat tanah air antaranya Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Andy Teh dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd