Blood Brothers kutip RM70 juta, Sharnaaz anggap kerja keras berpasukan

Blood Brothers kutip RM70 juta, Sharnaaz anggap kerja keras berpasukan

am@hmetro.com.m

Kuala Lumpur : Filem Blood Brothers : Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra terus mendapat sambutan luar biasa dengan mencecah kutipan RM70 juta dalam tempoh 25 hari tayangan di pawagam seluruh tanah air.

Pelakon utama filem ini, Sharnaaz Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada semua peminat yang terus memberi sokongan pada filem itu di pawagam.

“Alhamdulillah, kita pun tak jangka dari awal kutipan filem ini akan mencecah RM70 juta.

“Tapi kita berterima kasih kepada semua peminat yang beli tiket dan berusaha untuk datang berjumpa kami di ‘road tour’ (siri jelajah) filem ini.

“Peminatlah yang beri semangat untuk kita pusing satu Malaysia bagi jayakan sesi road tour ini,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya kejayaan luar biasa filem Blood Brothers : Bara Naga pula, kata Sharnaaz, satu sahaja formulanya iaitu buat sesuatu karya itu dengan bersungguh-sungguh.

“Bukan setakat pengarah dan barisan pelakon sahaja tapi ia membabitkan semua ‘department’ (bahagian) termasuk dari segi proses suntingan, sistem bunyi, kejuruteraan dan solekan kena ada kesempurnaan.

“Bila semua bahagian hasilkan sesuatu material yang sempurna, kena ada orang yang pentingkan kesempurnaan. Malah bikin filem supaya dia sendiri puas hati dengan karya dihasilkan dan bukan setakat nak tayang di pawagam sahaja,” katanya.

Mengulas sasaran RM100 juta untuk filem itu pula, kata Sharnaaz, dia yakin mereka akan dapat mencapainya dengan berkat doa dari semua rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, saya yakin untuk filem ini mencapai sasaran 100 juta kerana filem Blood Brothers : Bara Naga juga akan ditayangkan di pasaran luar negara, contohnya di Thailand dan Indonesia.

“Saya difahamkan ia juga dipasarkan ke Hong Kong dan India juga selepas ini.

“Bagaimanapun, tayangan filem ini akan dikurangkan pada minggu keenam tayangan (minggu depan) kerana kita beri ruang pada banyak filem lain seperti Gayong pula untuk ditayangkan di pawagam,” katanya.

Sementara itu, ditanya impak kejayaan filem itu pada karier lakonannya pula, kata Sharnaaz, ia bukan sahaja beri impak positif padanya malah kepada semua barisan pelakon filem itu.

“Saya anggap ia batu loncatan untuk perbaiki lagi prestasi untuk mencapai lakonan bertaraf antarabangsa pada masa depan.

“Saya bukannya bagus tapi sebab saya tidak mahu berhenti belajar untuk menjadi lebih bagus lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top