Blueprint UPM pacu keterjaminan makanan, kurangkan kebergantungan import

Blueprint UPM pacu keterjaminan makanan, kurangkan kebergantungan import

razis@mediaprima.com.my

Serdang: ‘Blueprint’ Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dilihat sebagai langkah strategik dalam menggalakkan petani tempatan meningkatkan pengeluaran, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pendekatan itu memberi penekanan kepada galakan petani untuk bercucuk tanam bukan sahaja bagi memenuhi keperluan negara, tetapi juga permintaan di peringkat tempatan.

Katanya, pendekatan itu selari dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat institusi seperti UPM memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Isu kebergantungan kepada makanan import bukan perkara baharu, malah telah lama diketengahkan UPM bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai antara cabaran utama negara.

“Situasi geopolitik semasa turut memberi kesan kepada sektor pertanian apabila bukan sahaja bekalan makanan terjejas, malah turut melibatkan bahan input seperti baja dan keperluan lain.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa negara yang mempunyai keupayaan sendiri dalam pengeluaran makanan akan lebih terjamin dan tidak terlalu terdedah kepada risiko luar,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan teknologi menjadi antara elemen penting dalam memastikan sektor pertanian mampu menghasilkan produk lebih banyak, cepat dan berkualiti.

Katanya, cabaran utama ketika ini adalah profil petani yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berumur, justeru UPM melihat peranan generasi muda terutama graduan sebagai pemangkin perubahan dalam sektor berkenaan.

“Salah satu strategi, kita menggunakan teknologi melalui tenaga muda dengan harapan graduan UPM yang akan dapat mengubah senario profil petani di Malaysia kerana tanpa teknologi kita tidak akan dapat menurunkan kos dan juga tidak akan dapat meningkatkan hasil serta kualiti.

“Kita juga menggunakan pakar (UPM) untuk membantu meningkatkan kapasiti petani secara keseluruhan. Pada masa sama, kita juga membuka ruang untuk memberi latihan kepada petani dari luar untuk belajar ilmu yang baru dan dapat digunakan untuk keperluan keterjaminan makanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top