BMW kini sedang melangkah ke arah strategi baharu dalam pembangunan teknologi pemanduan apabila mereka mula menggunakan data sebenar daripada kereta pelanggan sendiri. Bermula 1 April di Jerman, pengeluar dari Munich itu akan mengumpul data imej, video dan pelbagai bacaan sensor daripada kenderaan pelanggan.
Langkah ini akan dimulakan dengan model generasi baharu seperti iX3 sebelum diperluaskan ke model lain pada masa akan datang. Namun, sistem ini tidak diaktifkan secara automatik kerana ia memerlukan persetujuan jelas daripada pemilik kenderaan dan kebenaran tersebut juga boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Apa yang menarik ialah sistem ini bukanlah merakam setiap detik perjalanan seperti dashcam biasa. Sebaliknya ia hanya akan diaktifkan dalam situasi tertentu yang dianggap kritikal. Contohnya apabila pemandu melakukan brek mengejut, mengelak secara drastik, atau apabila sistem keselamatan seperti brek kecemasan automatik campur tangan untuk mengelakkan pelanggaran.
Dalam situasi seperti ini, kereta BMW akan merakam beberapa saat sebelum dan selepas kejadian, termasuk video daripada kamera luar serta data penting seperti kelajuan, sudut stereng, arah pergerakan dan input sensor yang lain.
Pendekatan ini membolehkan BMW mengumpul data dunia sebenar yang jauh lebih bernilai berbanding simulasi semata-mata. Melalui rakaman dan data yang diperoleh, jurutera boleh memahami bagaimana pemandu sebenar bertindak dalam situasi cemas, termasuk kesilapan yang dilakukan oleh pemandu dan juga sensor BMW sendiri .
Tindakan ini akan membantu menambah baik sistem bantuan pemandu atau ADAS agar menjadi lebih tepat, lebih responsif dan lebih selamat digunakan dalam pelbagai keadaan jalan raya sebenar. Pada masa yang sama, isu privasi tetap menjadi kebimbangan utama.
BMW menjelaskan bahawa semua data yang dikumpul akan melalui proses pengaburan sebelum dihantar ke pelayan mereka. Wajah individu dan nombor plat kenderaan akan dikaburkan, manakala sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti pemilik akan dibuang. Ini bermakna data yang digunakan adalah bersifat umum dan tidak boleh dikesan semula kepada individu tertentu.
Tetapi terdapat kemungkinan data ini dikongsi dengan rakan teknologi atau pihak ketiga seperti pembekal komponen bagi tujuan pembangunan sistem, sesuatu yang mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna yang lebih peka terhadap privasi.
Langkah ini juga mencerminkan arah masa depan industri automotif yang semakin bergerak ke arah digitalisasi. Kereta moden bukan lagi sekadar mesin mekanikal, tetapi kini berfungsi sebagai platform pintar yang sentiasa belajar dan berkembang.
Dengan bantuan data pemanduan sebenar, sistem dalam kereta berpotensi untuk menjadi lebih bijak, lebih memahami gaya pemandu, dan seterusnya menawarkan pengalaman yang lebih peribadi. Dalam erti kata lain, kereta BMW bukan sahaja membantu anda memandu, tetapi juga belajar daripada setiap keputusan yang dibuat di atas jalan raya.
BMW sedang mengubah cara pembangunan teknologi automotif dengan menjadikan pengguna sebagai sebahagian daripada proses tersebut. Jika dahulu kereta diuji di makmal dan litar tertutup, kini pembelajaran berlaku secara langsung di jalan raya sebenar.
Bezanya ialah setiap kali anda berdepan situasi cemas di jalan raya, ada kemungkinan besar kereta anda bukan sahaja membantu anda mengelak kemalangan, tetapi turut belajar dalam diam-diam untuk menjadikan sistem ADAS BMW menjadi ebih baik pada masa hadapan.




