GEORGE TOWN – Barisan Nasional (BN) kekal komited untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15 sekali gus menepis dakwaan wujud usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak pernah berniat untuk terlibat dalam sebarang gerakan bagi menjatuhkan kerajaan termasuk dakwaan mengenai ‘Langkah Dubai’ atau mana-mana percaturan politik lain.
Menurut beliau, komitmen BN untuk bersama Kerajaan Perpaduan dibuat selepas menerima titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukan kerajaan dan pendirian itu kekal sehingga penghujung penggal Parlimen ke-15.
“Saya tak ada niat langsung. Tak ada langkah Bangkok, tak ada Langkah Dubai atau apa-apa. Kami pegang komitmen itu.
“Apabila kami komited untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Agong dahulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen ke-15. Noktah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelerasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-61 di Teluk Bahang di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya wujud usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat tidak perlu ragu-ragu dengan pendirian BN kerana keutamaan ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
“Biarlah apa sahaja orang bercakap.
“Yang penting, dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama untuk mewujudkan kestabilan politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tiada sebarang perbincangan atau rundingan dibuat bagi membolehkan berlaku pertukaran kerajaan malah pentadbiran sedia ada akan terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ahmad Zahid turut menegaskan dakwaan mengenai usaha menukar kerajaan adalah tidak benar selain menafikan wujud pertemuan antara pimpinan BN, Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti yang tersebar.
Beliau berkata, pendirian parti tersebut kekal menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga PRU16 berdasarkan keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini.



