BN Melaka umum calon PRN pada 28 Oktober ini

BN Melaka umum calon PRN pada 28 Oktober ini

am@hmetro.com.my

Melaka: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan 28 Oktober ini sebagai hari pengumuman calon gabungan parti itu.

“Insya-Allah, saya akan buat pengumuman calon pada 28 hari bulan. Siapa juga yang tercalon, itulah mereka yang akan membawa obor perjuangan UMNO dan BN.

“Jadi, kita berazam untuk menang, berazam supaya kita tidak tewas lagi sekali,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Tangga Batu di Sungai Udang, di sini malam ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada sidang media selepas itu, Ab Rauf berkata, BN bertekad untuk mempertahankan 21 kerusi yang pernah dimenangi pada PRN lalu, namun berharap kemenangan pada PRN kali ini melebihi 25 kerusi.

Beliau berkata, langkah itu sebagai pencetus semangat untuk jentera parti bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan besar, termasuk di kerusi yang ditandingi calon dari parti lain yang menjalinkan persefahaman politik dengan BN.

Ab Rauf turut mengingatkan jentera parti supaya berusaha memastikan BN kembali mendapat mandat rakyat pada PRN kali ini supaya pengalaman perit pada 2018 tidak berulang.

“Cukuplah sekali dan kita tidak berbalik semula. Pastinya, pilihan raya kali ini, UMNO dan BN kembali untuk menerajui pasukan membela rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top