PETALING JAYA: Persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak bermaksud Barisan Nasional (BN) perlu menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, BN justeru itu menolak dan tidak berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia .
Katanya, hal ini kerana parti itu kekal berdiri atas prinsip sendiri dalam menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan kepada rakyat.
“BN merupakan gabungan politik pelbagai kaum yang telah membuktikan selama lebih enam dekad bahawa Malaysia mampu dibangunkan atas asas perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan.
“Kami akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan formula kenegaraan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
“Selain, hak Bumiputera dan hak-hak sah semua warganegara. Inilah asas yang telah menyatukan negara sejak merdeka dan mesti terus dipertahankan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, BN turut menolak politik ketakutan yang terus dimainkan pihak tertentu dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik parti tertentu memerintah.
“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu.
“Politik ketakutan adalah berbahaya kerana ia mengundang curiga, prasangka dan kebencian,” katanya.
Justeru itu, katanya, parti itu juga menolak golongan yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan.
“BN terus mengekalkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat dan menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN




