BNPL hukumnya harus di sisi syarak, haram jika ada riba – Mufti

BNPL hukumnya harus di sisi syarak, haram jika ada riba – Mufti

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemudahan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ atau Buy Now Pay Later (BNPL) yang semakin popular di platform e-dagang adalah harus di sisi syarak, namun ia boleh bertukar menjadi haram jika mengandungi unsur riba.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, Islam tidak menolak kemajuan dalam sistem kewangan, namun umat Islam perlu berhati-hati kerana tidak semua platform BNPL patuh syariah.

Menurutnya, ada platform BNPL yang mengenakan penalti lewat bayar yang sebenarnya mengandungi unsur riba yang diharamkan dalam Islam.

“Hukum menggunakan BNPL adalah harus, sekiranya memenuhi syarat-syarat digariskan syarak iaitu harga jualan ditetapkan secara jelas pada awal akad dan dipersetujui kedua-dua pihak.

“Selain itu, tiada faedah tambahan yang menjadi keuntungan kepada penjual atau penyedia platform jika berlaku kelewatan bayar (riba), serta terma perjanjian dan mekanisme pembayaran jelas supaya tidak berlaku gharar (ketidakpastian).

“Sebaliknya, jika BNPL mengenakan faedah atas bayaran tertangguh, atau menetapkan penalti kewangan yang berlebihan jika berlaku kelewatan, maka ia menyalahi prinsip keadilan muamalat Islam dan dikira mengandungi unsur riba yang jelas diharamkan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau menjelaskan, caj penalti yang dibenarkan hanyalah dalam bentuk tawidh (ganti rugi kerugian sebenar) dan bukannya penalti yang membawa keuntungan kepada syarikat.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying ketika sidang Dewan Rakyat dilaporkan berkata, jumlah bilangan transaksi BNPL meningkat daripada 83.8 juta transaksi pada separuh tahun kedua 2024 kepada 102.6 juta transaksi pada separuh tahun pertama tahun ini.

Beliau dipetik berkata, ia peningkatan 31 peratus kepada RM9.3 bilion berbanding RM7.1 bilion pada 2024, di samping jumlah akaun BNPL yang aktif turut meningkat daripada 5.1 juta akaun pada akhir 2024 kepada 6.5 juta pada akhir Jun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Sukki menzahirkan kebimbangan terhadap bahaya gaya hidup berhutang yang semakin menular dalam masyarakat.

“Islam amat menggalakkan sikap berjimat cermat, hidup mengikut kemampuan dan menjauhi hutang tanpa keperluan.

“Umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan BNPL sebagai budaya hidup boros, membeli ikut hawa nafsu hanya kerana tawaran ansuran mudah, sedangkan kewangan tidak stabil.

“Membeli barangan bukan keperluan melalui hutang yang tidak mampu dibayar boleh membawa kepada dosa, bahkan mencetuskan kesan domino dalam rumah tangga seperti kegagalan membayar balik dan muflis,” tegas beliau.

Justeru, beliau menyeru agar umat Islam kembali kepada prinsip asas pengurusan harta dalam Islam iaitu berbelanja mengikut keperluan, bukan keinginan dan berhutang hanya dalam keadaan darurat.

“BNPL boleh menjadi kemudahan, tetapi ia juga boleh menjadi perangkap hutang moden yang memudaratkan kehidupan dunia dan akhirat jika digunakan tanpa kawalan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top