Boca Juniors mengamuk, Rojo tumbuk pengawal keselamatan

Boca Juniors mengamuk, Rojo tumbuk pengawal keselamatan

LONDON: Bekas bintang Manchester United, Marcos Rojo dirakam menumbuk pengawal keselamatan sebelum dilihat mengambil alat pemadam api ketika rusuhan dicetuskan Boca Juniors, semalam.

Kelab Argentina itu tersingkir daripada saingan Copa Libertadores selepas tewas 1-3 menerusi penentuan penalti di tangan wakil Brazil, Atletico Mineiro.

Selepas tamat perlawanan, pemain Boca mencetuskan rusuhan di terowong dan bilik persalinan sekali gus bermalam di lokap susulan tindakan mereka itu.

Beberapa video kini mula tular yang menunjukkan Rojo terbabit secara langsung ketika kemuncak rusuhan berkenan.

Dalam satu rakaman, bekas pertahanan United itu dilihat menumbuk pengawal keselamatan manakala satu lagi video menyaksikan dia mengambil alat pemadam api.

Rusuhan itu hanya berjaya disuraikan selepas kehadiran polis tentera yang menggunakan gas pemedih mata, menurut kenyataan Atletico.

Menurut ESPN, pemain Boca menyerang pegawai polis termasuk pasukan Atletico Mineiro.

Tonggak pertahan Peru, Carlos Zambrano dan penyerang Colombia, Sebastian Villa ditahan polis tentera selepas rusuhan itu.

Bagaimanapun, seluruh pasukan Boca Juniors membuat keputusan untuk bersama mereka ke balai polis.

“Jika kedua-dua mereka tidak pergi, kami juga tidak akan pergi. Sama kami semua pergi atau sebaliknya,” kata jurulatih, Miguel Angel Russo. – Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top