am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menafikan berlaku kebocoran maklumat, terutama membabitkan lokasi dan masa operasi penguatkuasaan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pengarahnya, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, semua lokasi operasi sama ada dilakukan secara harian atau berjadual ditentukan unit penguatkuasa.
“Kita sendiri pun tidak tahu dan tidak dimaklumkan lokasi operasi akan diadakan walaupun turut menyertainya,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Setia Berjasa di Dewan Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), di sini, semalam.
Mohd Yusri berkata, lokasi dan masa semua operasi PATI, terutama di tapak pembinaan ditentukan ketua unit penguatkuasa.
“Rahsia lokasi serbuan juga turut dirahsiakan kepada pegawai dan anggota penguatkuasa yang menyertai operasi itu,” katanya.
Ketika mengulas jumlah keseluruhan tangkapan PATI, Mohd Yusri berkata, seramai 929 PATI daripada beberapa negara diberkas dalam 383 operasi yang diadakan bermula Januari hingga semalam.
Dalam operasi itu, katanya, seramai 4,978 warga asing diperiksa dan 929 orang PATI ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Seramai 437 PATI ditahan mengikut Seksyen 6 (1), (c), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal dalam negara tanpa permit, 254 orang ditahan mengikut Peraturan 39 (b) atas kesalahan melanggar syarat pas atau permit.
“Seramai 238 PATI ditahan mengikut Seksyen 15 (1), (c) atas kesalahan tinggal melebihi tempoh permit dan 32 majikan ditahan mengikut Seksyen 55E, akta yang sama kerana membenarkan PATI berada dalam premis,” katanya.
Mohd Yusri berkata, orang ramai diminta turut membantu menyalurkan maklumat keberadaan warga asing kepada JIM negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd