Boikot Tapi Masih Beli: Solidariti Atau Sekadar Trend?

Petaling Jaya: Sejak serangan terhadap Palestin kembali hangat, masyarakat di seluruh dunia mula menunjukkan solidariti melalui pelbagai cara, antaranya melalui kempen boikot terhadap produk dan syarikat yang dikaitkan dengan rejim Zionis. Media sosial kini dilihat dipenuhi dengan senarai jenama yang perlu dielakkan, poster “Free Palestine” dan juga video yang menyeru agar pengguna Islam bersatu menolak produk tertentu. Ramai yang bersemangat menukar gaya hidup dan berjanji untuk tidak menyokong syarikat yang menindas rakyat Palestin. Namun timbul persoalan utama “adakah semangat itu lahir daripada kesedaran yang mendalam, atau sekadar trend sementara yang akan hilang apabila isu ini tidak lagi viral?”

Makna dan Tujuan Sebenar Boikot

Kempen boikot bukanlah perkara yang baharu sebenarnya. Sejak dahulu, masyarakat menggunakan tindakan ini sebagai alat penentangan terhadap kezaliman. Dalam konteks Palestin pula, boikot bukanlah sekadar tindakan ekonomi, tetapi juga simbol solidariti terhadap mereka yang dizalimi. Ia menunjukkan kekuatan rakyat biasa menggunakan kuasa pembelian sebagai bentuk protes yang masih aman. Namun, dalam dunia moden yang dipengaruhi budaya “trending”, nilai sebenar boikot kadangkala hilang di tengah arus populariti yang hanya sementara.

Semangat Bermusim dan Kesedaran Sementara

Pada awal kempen, ramai yang berkongsi poster dan menyeru orang lain agar turut serta. Tetapi selepas beberapa minggu, semangat itu kian pudar. Kedai yang dulunya dikritik kembali dipenuhi pelanggan. Malah, ada yang masih membeli produk sama atas alasan “tiada pilihan lain”. Keadaan ini menimbulkan persoalan besar “adakah kita benar-benar memahami makna solidariti, atau sekadar mahu dilihat peduli?”

Boikot Sebagai Tindakan Berprinsip

Sebagai pelajar dan pengguna muda, kita perlulah lebih memahami bahawa boikot bukan sekadar berhenti membeli produk, tetapi juga mencerminkan prinsip dan kesedaran diri yang sebenar. Ia tindakan simbolik menolak kezaliman dan ketidakadilan terhadap rakyat Palestin. Walaupun kelihatan kecil, jika dilakukan secara berterusan kesannya menjadi besar. Sejarah membuktikan bahawa tekanan ekonomi mampu melemahkan kuasa penindas. Namun, jika semangat ini bersifat sementara, perjuangan tersebut akan menjadi sia-sia dan tidak meninggalkan kesan bermakna.

Salah Faham dan Sikap Menghukum

Antara isu yang sering timbul dalam kempen boikot ialah sikap suka “menghukum” orang lain. Terdapat individu dikritik kerana masih membeli produk tertentu tanpa memahami keadaan mereka. Tidak semua orang mampu menukar jenama, apatah lagi jika melibatkan keperluan asas harian. Oleh kerana itu, boikot tidak seharusnya dijadikan medan menilai siapa paling suci atau prihatin. Sebaliknya, ia perlu menjadi ruang mendidik masyarakat tentang pilihan yang lebih baik. Matlamat utama boikot ialah menyedarkan, bukan menjatuhkan.

Perspektif Islam Terhadap Boikot

Dalam Islam, menentang kezaliman ialah tanggungjawab setiap Muslim. Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lidahnya; dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itu selemah-lemah iman.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Boikot boleh dianggap sebagai salah satu bentuk “mengubah dengan tangan”, iaitu melalui tindakan nyata dalam kehidupan seharian. Walaupun kecil, namun setiap pembelian membawa mesej dan nilai tersendiri. Dengan tidak menyokong syarikat yang menindas, kita menunjukkan bahawa keadilan masih hidup dalam diri umat Islam.

Menyokong Produk Tempatan dan Usahawan Muslim

Selain menolak produk tertentu, kempen boikot membuka ruang besar untuk menyokong perniagaan tempatan dan jenama-jenama Muslim. Banyak usahawan kecil mendapat sambutan selepas kempen ini dilancarkan. Hal ini dapat membantu ekonomi umat Islam. Namun, usaha ini hanya akan berjaya jika masyarakat kekal istiqamah, bukan bertindak hanya ketika isu sedang panas.

Bijak Menilai Fakta dan Maklumat

Bukan itu sahaja, dalam era digital, kita perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan maklumat yang palsu. Kadangkala tersebar dakwaan bahawa sesetengah jenama menyokong Zionis tanpa bukti kukuh. Sebelum menyebarkan maklumat, pastikan sumbernya sahih dan benar. Perjuangan menegakkan keadilan tidak boleh dibina atas asas fitnah atau emosi semata-mata.

Kesimpulan: Solidariti yang Tulus, Bukan Trend Bermusim

Kesimpulannya, boikot bukan tentang siapa yang paling lantang bersuara atau paling kerap berkongsi poster. Tetapi, Ia tentang kejujuran dan keteguhan prinsip dalam mempertahankan keadilan. Jika benar pada hari ini kita prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, buktikan melalui tindakan konsisten, dan bukanlah sekadar kata-kata sahaja. Jangan pernah jadikan solidariti sebagai trend bermusim yang hanya wujud ketika isu viral. Kemanusiaan sejati tidak bergantung pada “hashtag”, tetapi pada hati yang istiqamah menolak kezaliman.

Oleh: ATHIRAH FAQIHAH BINTI AHMAD FEKRY
MAHASISWA TAHUN 3, JABATAN USULUDDIN DAN DAKWAH,
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA
athirahfaqihah7@gmail.com

Scroll to Top