Bola sepak jadi harapan kanak-kanak migran

Bola sepak jadi harapan kanak-kanak migran

Mexico City: Kurang 90 hari menjelang Piala Dunia, ratusan kanak-kanak migran di ibu negara Mexico mencipta ‘kejohanan sendiri’ sebagai simbol harapan di tengah ketidakpastian hidup.

Melalui projek Goals for Inclusion yang disokong Kesatuan Eropah serta agensi antarabangsa seperti Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan Organisasi Antarabangsa Migrasi (IOM), mereka menjalani latihan di padang sementara sejak Februari sebagai persiapan kejohanan pada April.

Inisiatif itu bukan sekadar mencari juara, sebaliknya bertujuan memupuk integrasi, keselamatan dan kehidupan harmoni dalam kalangan kanak-kanak yang sering terdedah kepada keganasan, perpisahan keluarga dan diskriminasi.

Seorang bapa migran dari Venezuela, Joel Orta berkata, sukan menjadi bahasa universal yang menyatukan semua.

“Sukan tiada sempadan. Bola tetap sama di mana-mana,” katanya.

Anaknya, Matias yang berusia lapan tahun antara peserta yang menjadikan bola sepak sebagai pelarian daripada realiti kehidupan di pusat perlindungan di kawasan berisiko tinggi.

Sejak konflik geopolitik terkini, dianggarkan sekitar 300,000 migran masih terkandas di Mexico tanpa hala tuju jelas, sama ada meneruskan perjalanan, pulang ke negara asal atau menetap di negara itu.

Dalam keadaan sukar itu, bola sepak menjadi medium penting untuk membina komuniti dan memberi ruang kepada kanak-kanak menikmati kehidupan normal.

“Sukan adalah alat perubahan dan keamanan. Ia membantu kami berhubung antara satu sama lain,” kata pengarah program, Perla Acosta.

Di sebalik impian Piala Dunia sebenar, kejohanan kecil ini mungkin tidak menjanjikan trofi besar, namun bagi mereka, ia adalah kemenangan terhadap ketidakpastian hidup.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top