'Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT' – Tunku Ismail

'Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT' – Tunku Ismail

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, meluahkan kekecewaan terhadap segelintir pihak dalam ekosistem bola sepak tempatan yang disifatkan masih gagal menghargai pencapaian luar biasa kelab kendaliannya.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Tunku Ismail menyatakan bahawa JDT telah mencipta pelbagai kejayaan dalam tempoh 12 tahun, namun masih berdepan sikap sinis dan pandangan skeptikal daripada sesetengah pihak yang tidak mahu mengiktiraf kemajuan kelab itu.

“Kita tersekat dengan orang-orang bodoh yang tak dapat beza. 12 tahun pecah rekod dan cipta sejarah dalam dan luar padang. Tapi masih tak sedar,” titah baginda dengan nada tegas.

Baginda turut menyifatkan bola sepak tempatan masih terkongkong dalam pemikiran tradisional yang menolak pendekatan moden dan profesional seperti yang diterapkan JDT sejak penubuhannya.

“Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT. Mereka patut kembali kepada mindset anak jati, Piala Malaysia lebih penting daripada liga, dan tolak Piala AFC,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada kecenderungan segelintir penyokong dan penggiat bola sepak yang masih mengagungkan kejayaan lama dan kurang menghargai usaha pembangunan kelab secara sistematik, seperti akademi, infrastruktur, dan pengurusan profesional.

Baginda juga menyindir mentaliti pihak yang dilihat ‘tidak biasa’ melihat kejayaan berterusan, serta keberadaan JDT di pentas antarabangsa, termasuk dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala AFC sebelum ini.

“Kita terlalu laju dan jauh ke depan berbanding mereka. Fakta tak pernah menipu,” tambah Tunku Ismail yang juga pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sejak diterajui baginda, JDT bukan sahaja mendominasi saingan Liga Malaysia, malah menjadi kelab pertama negara memenangi Piala AFC (2015), serta memiliki fasiliti bertaraf dunia seperti Stadium Sultan Ibrahim dan pusat latihan JDT di Iskandar Puteri.

Kelab itu juga membuktikan serius dalam pembangunan bakat muda menerusi Akademi JDT yang kini menjadi antara platform utama untuk mencungkil pemain pelapis kebangsaan.

Dalam pada itu, kenyataan Tunku Ismail turut mencerminkan harapan baginda agar landskap bola sepak negara berubah ke arah yang lebih moden, terbuka dan profesional iaitu selari dengan kehendak bola sepak global hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top