Bola sepak negara dikuasai 'warga asing' – Santokh

Bola sepak negara dikuasai 'warga asing' – Santokh

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Revolusi Harimau Malaya yang menampilkan barisan kejurulatihan dan kepimpinan dikuasai ‘orang luar’ termasuklah pemain skuad kebangsaan ternyata membuatkan pasukan terbabit hilang identiti.

Perkara itu diluahkan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh yang secara terbuka berikutan kecewa terhadap hala tuju skuad kebangsaan yang dilihat terlalu bergantung kepada warga asing untuk membentuk pasukan mantap.

Malah, beliau melihat pemain naturalisasi dan warisan lebih menjadi pilihan, sekali gus tonggak tempatan dianak tiri.

“Apa yang saya mahu katakan, FAM kini adalah ‘Persatuan Bolasepak Mat Salih’. Kenapa hanya Mat Salih di sana? Anda cuba beritahu saya apa sebenarnya berlaku kepada jurulatih tempatan? Di mana mereka sekarang?

“Semuanya tersorok kerana mereka hanya memberikan mereka peranan sebagai pengarah teknikal, jadi apa yang boleh mereka lakukan?,” katanya.

Menurut Santokh, tindakan membawa masuk terlalu ramai pemain luar dan warisan yang tidak membesar dalam budaya bola sepak tempatan menunjukkan seolah-olah FAM hanya mengejar kejayaan segera tanpa perancangan jangka panjang yang kukuh.

“Kenapa panggil mereka pemain warisan? Mereka tak pernah main pun di sini, tapi tiba-tiba datang dan terus jadi pemain negara.

“Matlamat mereka jelas iaitu kejayaan segera. Tapi itu sangat sukar dicapai tanpa asas yang kukuh,” katanya.

Jelasnya, suara dan pandangan daripada kepimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara dilihat terlalu senyap, seolah-olah tidak mahu menjawab persoalan yang timbul di peringkat akar umbi.

“Sampai hari ini, saya masih tak dengar apa-apa daripada kepimpinan baharu. Apa akan jadi kepada pemain tempatan kalau semua posisi diambil oleh orang luar?.

“Mereka tak ada tempat nak bermain. Harus ada keseimbangan antara pemain tempatan dan naturalisasi, bukan ambil jalan pintas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top