am@hmetro.com.mya
Kota Bharu: Sukan bola tampar duduk memberi peluang dan semangat kehidupan buat dua orang kurang upaya (OKU) untuk aktif bersukan seperti individu normal.
Ini berikutan Muhamad Syafiq Abdul Razak, 18, serta Wan Kamarulzaman Mohd Nor, 54, tidak mampu berdiri perlu bergantung kepada kerusi roda dan tongkat untuk beraksi di gelanggang.
Muhamad Syafik yang mempunyai masalah saraf tunjang sejak 2022, berkata sukan bola tampar baru diceburinya, namun mula ‘jatuh hati’ kerana mampu memberi kepuasan diri.
“Hanya saya dan Wan Kamarulzaman yang tidak mampu berdiri dalam pasukan, manakala empat ahli lain hanya mengalami masalah intelektual.
“Bagaimanapun, ia tidak menghalang kami beraksi seterusnya memberi mata kemenangan kepada pasukan.
“Selain mewujudkan semangat berpasukan, bola tampar duduk juga dapat mengajar golongan OKU untuk meningkatkan keyakinan diri. Tubuh menjadi lebih sihat dan fikiran berasa tenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Liga Sukan Orang Kurang Upaya (LISOKU) di Panji, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Kelantan Hazri Nizam Zakaria.
Sebanyak sembilan pasukan membabitkan enam pasukan lelaki dan tiga wanita bersaing dalam pertandingan itu.
Sementara itu, Wan Kamarulzaman berkata, sukan bola tampar duduk memberi peluang terbaik kepada golongan OKU untuk menunjukkan bakat terpendam dalam bidang sukan.
Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan itu berkata, dia sudah lama berminat dengan sukan bola tampar, namun ia kurang diperkenalkan di negeri ini.
“Melihat kepada sokongan yang diberikan keluarga serta penyokong, ia memberikan semangat kepada saya untuk rasa bersyukur walaupun dilahirkan sebagai OKU,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd