am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pesalah trafik yang disenarai hitam boleh menjelaskan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) melalui aplikasi MyJPJ bermula Rabu depan (18 Mac).
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, inisiatif itu bukan sahaja memudahkan pengguna jalan raya menyelesaikan saman sekali gus boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
Menurutnya, status senarai hitam akan dinyahaktifkan secara automatik dalam sistem JPJ apabila pembayaran berjaya dibuat.
“Mereka mempunyai saman AWAS boleh memanfaatkan kemudahan ini dengan membuat bayaran terus melalui aplikasi MyJPJ.
“Bagaimanapun, tiada potongan diberikan terhadap saman lama kecuali saman AWAS yang diterima tahun ini yang ditawarkan potongan secara berperingkat antara RM150, RM200 dan RM300 mengikut tempoh bayaran dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program Ihya Ramadan Akrab JPJ dan Komuniti di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, hari ini.
Menurutnya, pembayaran melalui MyJPJ itu tidak membabitkan saman Notis Temu Siasat (114) serta saman yang tidak boleh dikompaun kerana kes berkenaan perlu diselesaikan di mahkamah.
Notis berkenaan memerlukan pesalah trafik hadir ke JPJ bagi melengkapkan siasatan terhadap kesalahan lalu lintas dilakukan.
“Jika tidak hadir, status akan disenarai hitamkan dan mereka tetap perlu datang ke JPJ untuk menyelesaikannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




