Boleh makan besar bersama keluarga tapi bersyarat – Halimah

Datuk Halimah Mohamed Sadique

Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan acara makan besar sempena Tahun Baru Cina diadakan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer (km) radius.

Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique turut dibenarkan adalah aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari ini tetapi dengaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.Berdasarkan kenyataan media, beliau berkata, bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak boleh melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Tempoh waktu sembahyang bermula 6 pagi hingga 2 petang dibenarkan selama 30 minit dan diselangi dengan proses sanitasi.

Manakala bagi aktiviti sembahyang pada 19 Februari pula kata Halimah, ia dibenarkan diadakan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi Hokkien Clan.
Ujar beliau, pegawai-pegawainya akan memantau pematuhan SOP berkenaan di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] .

Justeru, Halimah menyeru masyarakat kaum Tionghua di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal.

Terdahulu beliau berkata, SOP yang telah ditambah baik itu diputuskan menerusi Mesyuarat Teknikal MKN hari ini. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.-M.Gazette

Malay News
National Desk