Kuala Lumpur: Konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran boleh menyebabkan harga minyak mentah Brent mencatatkan lonjakan spontan sebanyak AS$15 (RM58.35) hingga AS$20 (RM77.80) setong daripada paras penutup terkini, sekali gus berpotensi meningkat ke paras AS$90 setong.
Public Investment Bank Bhd (Public IB) dalam nota penyelidikannya berkata senario yang lebih serius melibatkan gangguan berterusan terhadap laluan transit melalui Selat Hormuz, harga minyak boleh diniagakan sementara dalam julat AS$100 (RM380) hingga AS$110 (RM427.90) setong apabila pasaran mengambil kira risiko gangguan fizikal terhadap bekalan.
“Bagaimanapun, kami berpendapat lonjakan ini sebahagian besarnya dipacu oleh keadaan semasa. Walaupun OPEC+ telah mengumumkan peningkatan pengeluaran sebanyak 206,000 tong sehari susulan jeda tiga bulan dalam kenaikan pengeluaran, tambahan itu tidak mencukupi untuk mengimbangi gangguan berskala penuh, tetapi ia akan membantu menstabilkan semula harga apabila ketegangan mereda dan aliran bekalan kembali normal.
“Dalam jangka sederhana, dengan andaian berlakunya penurunan konflik, Brent boleh menyusut semula ke arah keseimbangan AS$70 (RM272.30) hingga AS$75 (RM291.75) setong, sekali gus membayangkan semakan menaik secara sederhana daripada unjuran terdahulu kami sebanyak AS$60 (RM233.40) setong bagi tahun 2026 dan bukannya perubahan struktur,” katanya.
Ia menambah operasi ketenteraan AS dan Israel secara besar-besaran ke atas Iran telah memperkenalkan semula premium risiko geopolitik ke dalam harga minyak.
Walaupun Tehran belum mengeluarkan notis penutupan rasmi, kesesakan kapal tangki berhampiran Selat Hormuz yang dilaporkan dicetuskan oleh siaran radio yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam mengumumkan larangan transit, menunjukkan aliran pergerakan kapal pada dasarnya terhenti di tengah-tengah keadaan risiko perang yang tinggi.
“Ini telah mewujudkan kesesakan logistik secara serta-merta dan meningkatkan risiko bekalan jangka pendek,” katanya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan yang berasingan berkata sentimen terhadap harga minyak cenderung didorong oleh “premium perang” yang meliputi peningkatan kos untuk insurans tetapi biasanya tidak berterusan melainkan ketegangan berlanjutan.
“Kami perhatikan Iran menghasilkan kira-kira 3.0 peratus minyak mentah dan peluwap global, (menjadikannya) pengeluar ketiga terbesar dalam OPEC.
“Bagaimanapun, kami perhatikan OPEC+ telah bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak yang sederhana walaupun situasi di Iran mengganggu penghantaran. Ini sepatutnya dapat meredakan gangguan bekalan. Unjuran harga minyak kami untuk 2026 ialah AS$65 (RM252.85) setong,” katanya.
Maybank berkata serangan AS-Israel ke atas Iran telah meningkat dan boleh menyebabkan kesan peringkat kedua ke atas ekuiti Malaysia.
“Berdasarkan penilaian awal kami, kesannya kelihatan terhad ke atas saham-saham terpilih, walaupun sentimen berpotensi mencetuskan reaksi pasaran yang negatif, kerana ini boleh dianggap sebagai kesan yang tidak dijangka sekiranya keadaan memburuk.
“Bagaimanapun, kami kekal fokus pada sektor dan saham yang menumpukan kepada pasaran domestik, diterajui oleh perbankan, pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh baharu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




