am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi menyifatkan semua pihak harus melihat situasi yang dilalui golongan artis secara inklusif.
Katanya, dia tidak menolak secara realitinya ramai artis kini berhadapan pelbagai ujian dalam meneruskan kelangsungan dalam dunia seni.
“Contoh di TikTok, Instagram, Facebook dan macam-macam lagi, menjadi tempat alternatif mereka untuk terus relevan dan dapat membantu untuk menjana pendapatan
“Tapi kita perlu bezakanlah antara membina jenama diri dengan kandungan yang boleh menjatuhkan nilai artis itu sendiri,” katanya.
Zed berkata, industri seni tanah air tidak boleh bergerak ke arah kontroversi semata-mata.
“Macam SENIMAN, kita lihat keperluan untuk membimbing artis Ini dalam banyak aspek. Macam contohnya etika, garis panduan, branding dan kerjaya.
“Ia supaya artis ini bukan saja viral tetapi dihormati dan berdaya saing dalam jangka masa panjang bila kita melihat teknologi baru ini berkembang untuk membantu mereka terus ‘survive’ dalam industri yang mencabar mengikut zaman ini.
“Artis ‘jaja diri’ di media sosial ini dia memang sangat sensitif sikit. Kalau tak dikawal, kalau dia buat benda baik, nama dia akan dijulang. Tapi kalau dia buat benda tak baik, dia boleh menjatuhkan imejnya dan juga industri itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, jika difahami dengan betul sebenarnya ia berkaitan perkara yang paling penting ekonomi artis itu.
“Kalau kita tengok yang secara konservatif punya ‘job’ macam TV, filem, dah semakin berkurangan. Mungkin mereka terus ‘survive’ untuk tetap relevan, bekerja dalam media sosial di mana ia pun boleh menjana pendapatan.
“Ia menerusi kandungan-kandungan yang boleh memberi manfaat dan juga mesej yang baik atau boleh memberi impak kepada rakyat untuk mereka terus ‘survive’ dalam industri seni melalui media sosial ini,” kata Zed yang turut terbabit sebagai pelakon dan model.
Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan ramai penyanyi sebenarnya mempunyai potensi besar untuk mengembangkan bakat ke bidang lain seperti pengacaraan, lakonan atau penghasilan kandungan digital bagi kelangsungan kerjaya.
Menurutnya, seorang penyanyi lazimnya sudah biasa berada di pentas dan berhadapan dengan khalayak ramai.
“Jadi, secara logiknya mereka juga mampu menyesuaikan diri dalam bidang lain dalam industri hiburan,” katanya.
Menurut Freddie, golongan artis tidak boleh hanya bergantung kepada nasib semata-mata kerana realiti industri muzik mempunyai kitaran pasang dan surut.
Dia menyeru kepada penganjur acara serta penerbit drama dan filem agar memberi peluang kepada artis terbabit melalui sesi uji bakat (casting) atau projek baharu.
Katanya, pembabitan dalam bidang sampingan boleh menjadi platform untuk membuka pintu rezeki serta mengangkat semula nama mereka dalam bidang nyanyian.
Selain turut menekankan kepentingan kehadiran di media sosial dalam era digital masa kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




