MEMELIHARA haiwan comel seperti kucing menjadi amalan biasa dalam kalangan masyarakat sama ada di desa mahupun di bandar.
Bagi sesetengah orang, si bulus bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi juga teman yang setia menghibur.
Namun begitu, timbul persoalan yang kerap membelenggu fikiran para pemilik kucing terutama apabila haiwan kesayangan itu minum daripada kolah mandian atau bekas air di rumah.
Persoalannya, adakah air yang telah diminum kucing masih suci dan boleh digunakan untuk berwuduk, terutamanya jika haiwan itu pernah memakan bangkai cicak atau tikus?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sisa air minuman atau sisa makanan kucing secara asasnya adalah suci kerana ia merupakan haiwan yang turut diberikan keringanan dalam hukum syarak.
Hukum itu disandarkan kepada hadis sahih riwayat Imam An-Nasaâi tentang kisah Abu Qatadah yang membenarkan kucing minum daripada air wuduknya.

MASIH ramai yang waswas untuk mengambil wuduk di kolah, tempat kucing minum. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Kabsyah binti Kaâab bin Malik meriwayatkan sebuah hadis, katanya: âAbu Qatadah menemui Kabsyah lalu berkata: âSaya menuangkan air ke dalam bekas untuk dia berwuduk. Kemudian, seekor kucing datang minum daripada air tersebut. Abu Qatadah memiringkan bekas supaya kucing tersebut dapat minum. Kabsyah berkata: Abu Qatadah mengetahui bahawa saya sedang memperhatikannya, lalu dia berkata: âAdakah kamu terkejut wahai anak saudaraku?â Saya menjawab: âYa.â Abu Qatadah berkata: âSesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Kucing itu bukan najis kerana ia merupakan haiwan yang sering berkeliaran di sekelilingmuâ.” (Hadis Riwayat An-Nasaâi)
Berdasarkan hadis itu dan pandangan ulama muktabar, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, sisa minuman kucing adalah bersih dan tidak makruh digunakan.
âIa sebagaimana disebutkan oleh Imam An-Nawawi yang menyatakan âMenurut pendapat kuat, sisa air minuman kucing adalah suci dan tidak makruhâ,â katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #2035: Hukum berwuduk daripada sisa minuman kucing yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti itu pada Isnin.
Bukan sahaja kucing, jelas pejabat mufti itu, hukum tersebut turut terpakai untuk sisa air yang diminum oleh haiwan yang boleh dimakan dagingnya atau tidak boleh dimakan seperti kuda, keldai, binatang buas, tikus, ular dan cicak.
âKeharusan ini terkecuali pada anjing, khinzir dan anak hasil daripada kedua-duanya,â kata pejabat mufti itu.
Bagaimana pula jika kucing itu memakan benda najis seperti bangkai cicak atau tikus, kemudian terus meminum air di dalam kolah atau bekas?

SISA air minuman atau sisa makanan kucing secara asasnya adalah suci kerana ia merupakan haiwan yang turut diberikan keringanan dalam hukum syarak. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Dalam hal itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, jika diyakini bahawa kucing itu baru sahaja memakan najis dan langsung minum air tanpa sempat menyucikan mulutnya, maka air tersebut dihukumkan sebagai najis dan tidak boleh digunakan untuk bersuci.
âNamun, jika kucing itu berkeliaran untuk tempoh yang lama dahulu selepas memakan atau menggigit benda-benda bernajis sebelum kembali minum air, maka air tersebut dihukumkan suci.
âHal ini kerana ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan ada kemungkinan haiwan itu akan menyucikan mulutnya dengan minuman air yang banyak atau air yang mengalir di kawasan lain,â katanya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian menguatkan fakta itu dengan pandangan yang turut diperincikan oleh ulama Mazhab Syafie, Syeikh Zainuddin Al-Maâbariy yang menyatakan:
âSisa minuman daripada setiap haiwan yang suci adalah suci. Jika mulutnya bernajis, kemudian dia menjilat air yang sedikit atau cairan, (maka hukumnya diperincikan); jika haiwan itu sudah menghilang dan ada kemungkinan (ketika dia pergi) mulutnya menjadi suci dengan meminum air yang banyak atau air yang mengalir, maka air tersebut tidak menjadi najis walaupun haiwan itu ialah kucing. Namun, jika tidak sedemikian, maka airnya menjadi najis.â