Bolehkah Muslim bergambar dengan patung agama lain?

Bolehkah Muslim bergambar dengan patung agama lain?

SETIAP kali megunjungi tempat menarik atau bersejarah termasuk yang berkait rapat dengan kepercayaan tertentu, laju sahaja jari kita mengetik lensa kamera atau merakamnya menggunakan telefon pintar.

Bukan apa, kebanyakannya berbuat demikian kerana tidak mahu melepaskan momen indah apabila berada di lokasi unik atau jarang dikunjungi.

Namun begitu, isu bergambar dengan patung agama lain misalnya sering menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam khususnya ketika melancong.

Memberikan pencerahan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukumnya bergantung kepada tujuan sebenar seseorang Muslim berbuat demikian.

USTAZ AZHAR IDRUS

USTAZ AZHAR IDRUS

“(Kalau) tujuannya untuk orang suka pada agama Buddha (misalnya), haram…tak boleh.

“(Jika) kerana dia nak beritahu (bahawa) dia sudah pergi di tempat itu, makruh sahaja (mengikut) pandangan ulama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya baru-baru ini.

Mengulas tentang isu tasyabbuh (menyerupai agama lain), agamawan itu menjelaskan, perkara tersebut perlu difahami dengan jelas agar tidak disalah ertikan dalam soal bergambar bersama patung agama lain.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menyerupai sesuatu kaum (tasyabbuh), maka dia termasuk daripada kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

“Yang dikatakan tasyabbuh itu bukan bergambar. Maskud hadis itu, kita buat perbuatan kaum lain (yang) kalau orang tengok, dia rasa sangsi sama ada kita beragama Islam atau (sebahagian daripada) kaum berkenaan,” terangnya.

Bagi memudahkan kita memahaminya, Ustaz Azhar kemudian memberikan contoh situasi ketika sambutan tertentu yang menjadi identiti agama lain seperti perayaan Krismas.

“Hari Natal, orang Kristian letak pokok krismas di rumah. Bila tengok, kita pun tahu ‘Oh, ini rumah orang Kristian’.

SEKIRANYA seseorang sekadar bergambar dengan pokok krismas di pusat beli-belah, ia belum jatuh haram hukumnya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

SEKIRANYA seseorang sekadar bergambar dengan pokok krismas di pusat beli-belah, ia belum jatuh haram hukumnya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Tiba-tiba ada orang Islam pun buat sama, letak pokok krismas di depan rumah lengkap dengan lampu dan gantungan hadiah.

“Jirannya (mungkin) tak kata dia Kristian sebab sudah kenal dia Muslim, tapi orang luar yang lalu lalang (mungkin menyangka) dia (beragama) Kristian. Itu haram,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, jelas beliau, maksud tasyabbuh bukanlah seseorang menjadi penganut agama lain, tetapi sekadar menyerupai amalan keagamaan mereka hingga menimbulkan salah faham.

Seandainya seseorang sekadar bergambar dengan pokok krismas di pusat beli-belah, ujar Ustaz Azhar, ia belum jatuh haram hukumnya.

“Yang haram apabila dipasang juga pokok krismas di rumah, orang ingat kita pun (beragama) Kristian, padahal tidak.

Tasyabbuh (itu) bukan Kristian, tetapi ia hanya menyerupai sahaja, sudah (jatuh) haram,” ungkapnya.

Scroll to Top