Bolehkah qada solat sunat Subuh?

Bolehkah qada solat sunat Subuh?
Bolehkah qada solat sunat Subuh?

SOLAT sunat Subuh boleh terus dilaksanakan selepas solat fardu Subuh atau ditangguhkan sehingga waktu Dhuha. Foto Canva

Soalan

Bolehkah qada solat sunat Subuh sekiranya tidak sempat untuk melakukannya kerana iqamat telah dilaungkan?

Jawapan

Solat sunat Subuh merupakan solat sunat yang didirikan selepas terbit fajar atau selepas masuknya waktu Subuh dan sebelum solat Subuh dilaksanakan.

Ia merupakan sunat muakkad yang sangat dituntut untuk dikerjakan dan antara amalan sunat yang paling ditekankan dalam syariat Islam.

Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meninggalkannya sama ada ketika Baginda bermukim mahupun dalam keadaan musafir.

Ini menunjukkan kedudukannya sangat istimewa dalam kehidupan seorang Muslim. Rasulullah SAW bersabda: “Dua rakaat solat sunat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kebiasaannya di masjid atau surau, kita mempunyai cukup masa untuk mendirikan solat sunat Subuh ini sekiranya kita tiba sebelum atau ketika azan dikumandangkan.

Namun sekiranya kita tiba di masjid lewat dan iqamat telah dilaungkan, maka wajib untuk kita terus menyertai solat fardu Subuh berjemaah bersama imam dan tidak dibenarkan untuk mendahulukan solat sunat termasuk solat sunat Subuh.

Persoalannya, apakah kita boleh mendirikan solat sunat Subuh itu selepas solat fardu Subuh?

Jawapannya ya, dibolehkan untuk qada solat sunat Subuh selepas solat fardu Subuh secara langsung atau ada sebahagian ulama mengangguhkan ia hingga masuknya waktu Dhuha.

Scroll to Top