
Natasha merangkul emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan ini. – Foto FB Bowling Malaysia.
JUARA dunia Natasha Mohamed Roslan tidak pernah terfikir minat mendalam terhadap boling akan membawanya mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia selepas diperkenalkan kepada sukan itu oleh ibunya.
Menceritakan perjalanan sebagai atlet negara, Natasha yang merangkul pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan ini berkata, beliau dipanggil menyertai skuad remaja kebangsaan ketika berusia 15 tahun.
Menurut juara remaja dunia 2016 itu yang mula bermain boling seawal usia tujuh tahun, selepas setahun bersama skuad remaja kebangsaan, beliau mengundurkan diri kerana mahu memberikan tumpuan kepada persekolahan sehingga tamat tingkatan lima.
Ibarat bertemu bukit di tepi telaga, usai tamat persekolahan, anak jati Selangor berusia 27 tahun itu terpilih untuk bersama skuad utama kebangsaan dan sejak itu berpuluh negara dilawatinya sepanjang 10 tahun membawa nama Malaysia.



