georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, menyifatkan kejayaan nama tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims bagi edisi 2025 satu penghargaan cukup bermakna.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata meskipun disenaraikan menerusi kategori seni dan budaya, dia percaya usahanya membantu rakyat Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa turut menyumbang kepada pengiktirafan itu.
“Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan terharu untuk tersenarai dalam Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia. Itu satu penghargaan atas apa yang saya lakukan untuk agama juga.
“Walaupun kategori itu untuk anak seni tapi itu juga bersangkut paut dengan Yayasan Nurjiwa yang saya dan suami usahakan sehabis baik untuk mereka di Gaza, Palestin.
“Rakyat Malaysia juga yang terkesan dengan bencana alam. Saya lebih memikirkan ke arah itu,” katanya pada sidang media konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza, di St Giles Boulevard, di sini, hari ini.
Menurut penyanyi Oda Bumi Anbia itu, semangatnya semakin berkobar memikul tanggungjawab terus membantu menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan mereka yang memerlukan.
“Saya ada tanggungjawab di sana, saya masih ada anak angkat di sana. Malah, pasukan yayasan kami juga ada di sana untuk agihkan bantuan.
“Saya selalu berdoa pasukan saya terselamat dari apa-apa yang berlaku di sana supaya kami dapat terus menyalurkan bantuan kepada mereka,” katanya.
Menerusi buku terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan itu, Siti tersenarai bersama individu berpengaruh seluruh dunia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain Siti, penyanyi, Hafiz Hamidun turut tersenarai dalam pengiktirafan itu dalam kategori sama sebagai wakil dari Malaysia.
Dalam pada itu, konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza anjuran Universe Gateway bakal berlangsung pada 14 Disember nanti di Stadium Merdeka di sini. Tiketnya akan dijual bermula Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




